Sibghah Allah Swt dan Pengaruhnya dalam Jiwa
Surah 2: Al-Baqarah (138)
Ayat 138
صِبْغَةَ ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُۥ عَـٰبِدُونَ
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nya-lah kami beribadat”.
Sibghah (صِبْغَةْ) bermaksud celupan. Namun dalam ayat ini, kebanyakan para mufassir menyatakan maksudnya agama Allah yang telah menciptakan manusia menurut agama itu.
Agama mensucikan orang-orang beriman daripada kekotoran syirik dan dalam masa yang sama mempercantikkan diri dengan pengaruh yang indah. Ia meresap dan tersebar dalam hati orang-orang beriman seperti celupan yang meresap dalam kain. Oleh itu, iman menyerupai sibghah (celupan). Kedua-duanya sama-sama mensucikan, meresap dan memperindah.
Oleh itu, Allah Swt mengingatkan orang-beriman sekiranya mereka diajak memeluk agama lain, hendaklah menyatakan bahawa mereka telah mendapat Sibghah Allah yang teramat baik, tiada bandingannya, tiada yang lebih cantik sibghahnya daripada sibghah Allah Swt. Dia-lah yang mencelup hamba-Nya dengan iman dan membersihkan mereka daripada kotoran kufur dan syirik. Sibghatullah inilah yang menjadi punca segala kebaikan.
Sesungguhnya hanya Allah Swt yang patut disembah dan Dia-lah yang berhak menambah atau mengurangi dalam urusan agama-Nya.