Bantahan terhadap Pengakuan Orang Yahudi dan Nasrani
Surah 2: Al-Baqarah (134 – 135)
Ayat 134
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْـَٔلُونَ عَمَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.
Dalam ayat ini, “Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya;” merujuk kepada para nabi iaitu Nabi Ibrahim as, Nabi Ishak as, Nabi Ismail as dan seterusnya serta orang-orang yang soleh. Mereka ini tunduk patuh kepada Allah Ta’ala dan mengesakan-Nya.
Bani Israil amat berbangga dengan keturunan mereka yang dahulu dan mendakwa bahawa mereka adalah pengikut ajaran Nabi Ibrahim as. Namun amalan mereka tidak mengikut amalan Baginda. Oleh itu dalam ayat ini, Allah Ta’ala menjelaskan bahawa seseorang tidak akan dibalas kecuali atas usaha dan amalannya. Mereka juga tidak akan ditanya kecuali berdasarkan apa yang mereka usahakan dan amalkan serta tidak akan diseksa disebabkan dosa orang lain.
Ayat 135
وَقَالُوا۟ كُونُوا۟ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ تَهْتَدُوا۟ ۗ قُلْ بَلْ مِلَّةَ إِبْرَٰهِـۧمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani masing-masing mengajak orang-orang mukmin mengikuti agama mereka agar mendapat petunjuk ke jalan yang lurus. Mereka menyatakan bahawa agama merekalah yang terbaik.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa ‘Abdullah bin Suria Al-A’war pernah berkata kepada Rasulullah saw, “Petunjuk itu juga menjadi pegangan kami. Oleh itu wahai Muhammad, ikutlah kami nescaya engkau mendapat petunjuk.” Orang-orang Nasrani juga mengatakan perkara yang sama. Maka Allah Ta’ala menurunkan firman-Nya, “Dan mereka berkata, ‘Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk’”
Namun Allah Ta’ala membantah dakwaan mereka dengan mengatakan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as adalah agama yang lurus dan benar. Ini kerana Nabi Ibrahim as adalah seorang yang bertauhid dan menjauhi syirik.