Surah 2: Al-Baqarah (124) 

Kemuliaan Nabi Ibrahim as

Surah 2: Al-Baqarah (124) 


Ayat 124

وَإِذِ ٱبْتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengingatkan musyrikin Mekah tentang ujianNya kepada Nabi Ibrahim as. Baginda diberikan beberapa bebanan (taklif), iaitu beberapa perintah dan larangan, lalu Baginda menunaikan perintah dan larangan tersebut dengan sempurna. Sebagai ganjarannya, Allah Ta’ala menjadikan Nabi Ibrahim as imam dan teladan bagi seluruh umat. FirmanNya:  

“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik. Sesungguhnya orang-orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad), beserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad), dan Allah adalah Pelindung semua orang-orang yang beriman.” 

Ali ‘Imran 3:67-68 

Setelah Allah Ta’ala menjadikan Nabi Ibrahim as imam bagi seluruh manusia, Baginda memohon kepadaNya agar pangkat imam dianugerahkan juga kepada keturunannya. Doa ini dikabulkan oleh Allah Ta’ala dengan terbuktinya bahawa ramai di kalangan para rasul adalah daripada keturunan Baginda, sebagaimana dalam firmanNya:  

“Dan Kami anugerahkan kepada Ibrahim, Ishak dan Yaakub, dan Kami jadikan kenabian dan al-Kitab pada keturunannya, dan Kami berikan kepadanya balasannya di dunia; dan sesungguhnya dia di akhirat, benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.” 

Al-‘Ankabut 29:27  

Namun demikian, Allah Ta’ala menjelaskan bahawa janjiNya ini tidak termasuk kepada orang-orang yang zalim. Berdasarkan kenyataan tersebut, bolehlah disimpulkan bahawa di kalangan keturunan Nabi Ibrahim as itu terdapat juga orang-orang yang zalim. FirmanNya: 

“Kami limpahkan keberkatan ke atasnya dan ke atas Ishak. Dan di antara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang berbuat zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.” 

As-Saffat 37:113