Surah 2: Al-Baqarah (122) 

Peringatan kepada Bani Israil tentang Nikmat Allah Swt

Surah 2: Al-Baqarah (122) 


Ayat 122

يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّى فَضَّلْتُكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmat-Ku yang telah Ku-berikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).

Allah Ta’ala mengingatkan Bani Israil agar mengenang pelbagai nikmat-Nya yang dikurniakan kepada mereka. Mereka juga dilebihkan atas umat-umat yang lain sezaman mereka dengan diutuskan ramai para nabi daripada kalangan mereka dan diturunkan kitab-kitab.  

Ayat ini sama seperti ayat 47 dalam surah ini. Allah Ta’ala mengulangi menyebutnya untuk menegaskan dan mendorong Bani Israil mengikuti Nabi yang ummi yang sifat-sifatnya telah mereka ketahui melalui kitab mereka.  

Salah satu cara mengingati nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah Ta’ala adalah dengan beriman kepada Taurat dan segala yang terkandung di dalamnya termasuklah beriman kepada Rasulullah saw.