Rasulullah saw Diutus sebagai Pembawa Berita Gembira dan Pemberi Peringatan
Surah 2: Al-Baqarah (119)
Ayat 119
إِنَّآ أَرْسَلْنَـٰكَ بِٱلْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا ۖ وَلَا تُسْـَٔلُ عَنْ أَصْحَـٰبِ ٱلْجَحِيمِ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
Ayat ini merupakan hiburan bagi Rasulullah saw. Allah Ta’ala mengutus baginda sebagai rasul kepada manusia untuk menyampaikan berita gembira kepada orang-orang mukmin dan peringatan kepada orang-orang kafir.
Rasulullah saw hanyalah ditugaskan untuk menyampaikan dan tidak akan dipertanggungjawabkan sekiranya mereka menolak atau ingkar. Firman-firman-Nya:
“………….Kamu tidak memikul tanggungjawab sedikitpun terhadap perbuatan mereka dan mereka pun tidak memikul tanggungjawab sedikitpun terhadap perbuatanmu………”
Al-An’am 6:52
“Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).”
Al-Kahfi 18:6
“Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya……….”
Al-Baqarah 2:272