Bantahan Allah Swt terhadap Dakwaan Dia Mempunyai Anak
Surah 2: Al-Baqarah (116 – 117)
Ayat 116
وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبْحَـٰنَهُۥ ۖ بَل لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ كُلٌّ لَّهُۥ قَـٰنِتُونَ
Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia-lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.
Yahudi mendakwa ‘Uzair adalah anak Allah Ta’ala manakala Nasrani mendakwa ‘Isa as adalah anak-Nya. Manakala musyrikin pula mendakwa malaikat itu ialah anak perempuan Allah Swt. Maha Suci Allah daripada semua dakwaan mereka. Firman-Nya:
“Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) berserta-Nya, kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakan-Nya, dan sebahagian daripada tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.”
Al-Mu’minun 23:91
Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memerlukan bantuan daripada sesiapa pun. Segala yang ada di langit dan bumi adalah milik-Nya. Semua makhluk tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan kehendak-Nya. Manakala makhluk-Nya sangat memerlukan-Nya.
Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada seorang pun yang lebih sabar atas gangguan yang didengarnya dibandingkan dengan Allah, mereka telah menyatakan bahawa Dia mempunyai anak, padahal Dia-lah yang memberi rezeki dan kesihatan kepada mereka.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 117
بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَإِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.
Ayat ini menjelaskan kesempurnaan kekuasaan dan kemampuan serta keagungan Allah Ta’ala dalam menetapkan sesuatu. Sekiranya Dia berkehendak untuk mewujudkan sesuatu cukuplah Dia mengatakan, “Jadilah!” Maka wujudlah sesuatu itu mengikut apa yang dikehendaki-Nya.