Perselisihan antara Ahli Kitab
Surah 2: Al-Baqarah (113)
Ayat 113
وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ لَيْسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلَىٰ شَىْءٍ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيْسَتِ ٱلْيَهُودُ عَلَىٰ شَىْءٍ وَهُمْ يَتْلُونَ ٱلْكِتَـٰبَ ۗ كَذَٰلِكَ قَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ ۚ فَٱللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
Allah Swt menjelaskan kebencian dan permusuhan yang berlaku di kalangan ahli kitab. Orang-orang Yahudi mengatakan bahawa orang-orang Nasrani tidak mengamalkan ajaran yang sebenar. Orang-orang Nasrani pula mengatakan bahawa orang-orang Yahudi juga demikian.
Orang-orang Yahudi ingkar kepada kenabian Nabi ‘Isa as, padahal dalam kitab Taurat yang ada pada mereka terdapat janji Allah Ta’ala yang diambil daripada mereka melalui lisan Nabi Musa as agar mereka membenarkan Nabi ‘Isa as.
Dalam kitab Injil juga terdapat keterangan yang dibawa oleh Nabi ‘Isa as, yang isinya membenarkan Nabi Musa as dan apa yang diturunkan kepadanya dari sisi Allah Ta’ala iaitu kitab Taurat. Namun kedua-dua pihak ini mengingkari keterangan yang ada dalam kitab masing-masing.
Pendapat yang kuat tentang maksud “orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan” dalam ayat ini ialah orang-orang musyrik iaitu penyembah berhala yang tidak mengetahui sesuatu pun. Ini kerana mereka tidak mempunyai kitab, dan mereka juga mengatakan seperti yang dikatakan oleh ahli kitab. Orang-orang musyrik ini mengatakan bahawa setiap pemeluk setiap agama, tidak mempunyai pegangan.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengatakan bahawa Dia akan mengadili mereka semua pada hari kiamat dengan keputusan-Nya yang adil tanpa sedikit pun kezaliman. Dia-lah Yang Maha Mengetahui kebenaran dan kebatilan.