Bukti Kerasulan Nabi Muhammad saw
Surah 2: Al-Baqarah (99 – 101)
Ayat 99
وَلَقَدْ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ءَايَـٰتٍۭ بَيِّنَـٰتٍ ۖ وَمَا يَكْفُرُ بِهَآ إِلَّا ٱلْفَـٰسِقُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.
Allah Swt menegaskan bahawa sememangnya Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah saw yang mengandungi beberapa keterangan yang sangat jelas bagi membuktikan kenabiannya. Di dalamnya terdapat berita-berita yang tersembunyi tentang orang-orang Yahudi dan rahsia nenek moyang mereka pada zaman silam. Di dalamnya juga terdapat berita-berita yang terkandung dalam kitab mereka yang tidak diketahui kecuali oleh paderi atau pendeta mereka sahaja. Di samping itu, terdapat hukum-hukum yang terkandung dalam kitab Taurat yang telah diubah dan diselewengkan. Semua itu Allah Ta’ala perlihatkan dalam Al-Quran.
Walaupun keterangan-keterangan yang terdapat dalam Al-Quran tersebut jelas dan nyata, namun orang-orang fasik akan tetap mengingkarinya disebabkan terdapat sifat hasad dengki yang sangat mendalam dalam hati mereka.
Ayat 100
أَوَكُلَّمَا عَـٰهَدُوا۟ عَهْدًا نَّبَذَهُۥ فَرِيقٌ مِّنْهُم ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
Ayat ini yang dalam bentuk pertanyaan ini merupakan satu kecaman buat kaum Yahudi yang sangat suka berjanji tetapi selalu melanggarnya. Oleh itu dapat dilihat bahawa setiap kali mereka mengadakan perjanjian, akan ada sebahagian daripada mereka melanggarnya.
Ayat 101
وَلَمَّا جَآءَهُمْ رَسُولٌ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَرَآءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad saw), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
Setelah Nabi Muhammad saw diutuskan kepada mereka dengan membawa Al-Quran, mereka dapati ada beberapa persamaan antara keterangan-keterangan dalam Al-Quran dan Taurat. Maka sebahagian orang-orang Yahudi itu membuang kitab Taurat mereka (mengenepikan dan tidak mahu menggunakan isinya) disebabkan persamaan tersebut. Seolah-olah mereka tidak tahu bahawa kitab itu datang daripada Allah Ta’ala.
Maksud “melemparkan kitab Allah ke belakang” dalam ayat ini ialah mereka meninggalkan sebahagian ajaran yang terdapat dalam kitab Taurat iaitu bahagian kemunculan rasul akhir zaman, penjelasan sifat-sifat baginda dan perintah supaya beriman kepadanya serta mengikuti ajarannya.