Surah 2: Al-Baqarah (94 – 96) 

Orang Yahudi Dicabar 

Surah 2: Al-Baqarah (94 – 96) 


Ayat 94

قُلْ إِن كَانَتْ لَكُمُ ٱلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ عِندَ ٱللَّهِ خَالِصَةً مِّن دُونِ ٱلنَّاسِ فَتَمَنَّوُا۟ ٱلْمَوْتَ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw mencabar kaum Yahudi yang mengaku bahawa hanya mereka sahajalah yang akan masuk syurga agar mereka minta dimatikan dengan segera. Ini kerana mereka hanya akan mengetahui tentang balasan terhadap mereka setelah mereka mati. 

Ayat 95

وَلَن يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًۢا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

Seterusnya Allah Ta’ala menjelaskan bahawa sesungguhnya orang-orang Yahudi sekali-kali tidak akan pernah mengharapkan kematian kerana mereka mengetahui kebenaran Rasulullah saw dan bahawa tempat kembali mereka di akhirat kelak sangatlah buruk. Ini adalah akibat daripada kekufuran dan kesesatan yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui keadaan mereka yang zalim. 

Ayat 96

وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ ٱلنَّاسِ عَلَىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِۦ مِنَ ٱلْعَذَابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (halobanya mereka kepada hidup itu) melebihi haloba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

Inilah sikap orang-orang Yahudi. Mereka adalah golongan yang sangat menginginkan agar dapat hidup kekal selama-lamanya di bumi. Malahan mereka lebih rakus terhadap kehidupan dunia berbanding orang-orang musyrik yang tidak mempunyai kitab. 

Orang-orang musyrik tidak mengharapkan kebangkitan setelah kematian, yang mereka inginkan hanyalah umur yang panjang. Manakala orang-orang Yahudi pula telah mengetahui tentang kehinaan yang akan mereka terima di akhirat kelak kerana telah mensia-siakan ilmu yang mereka miliki. Oleh itu, mereka mengharapkan diberi umur yang panjang, padahal umur yang panjang itu sedikitpun tidak akan menyelamatkan mereka daripada azab.