Surah 2: Al-Baqarah (92 – 93)

Orang Yahudi Mengingkari Perintah Allah Swt

Surah 2: Al-Baqarah (92 – 93) 


Ayat 92

وَلَقَدْ جَآءَكُم مُّوسَىٰ بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ ٱتَّخَذْتُمُ ٱلْعِجْلَ مِنۢ بَعْدِهِۦ وَأَنتُمْ ظَـٰلِمُونَ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.

Nabi Musa as telah diutuskan dengan bukti-bukti yang jelas menunjukkan baginda adalah seorang rasul. Pemergian Nabi Musa as ke Bukit Tursina yang terletak di Sinai adalah untuk menerima Taurat. Namun begitu, setelah pemergian baginda, Bani Israil menzalimi diri mereka dengan menyembah patung anak lembu sedangkan mereka mengetahui bahawa tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah Ta’ala. Firman-Nya dalam ayat yang lain: 

“Dan kaum Musa, setelah pemergiannya (Musa) ke gunung Tursina, mereka membuat daripada perhiasan-perhiasan (emas) mereka (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa anak lembu itu tidak dapat berbicara dengan mereka dan tidak (pula) dapat menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (sebagai sembahan) dan mereka adalah orang-orang yang zalim.” 

Al-A’raf 7:148

Ayat 93

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُوا۟ مَآ ءَاتَيْنَـٰكُم بِقُوَّةٍ وَٱسْمَعُوا۟ ۖ قَالُوا۟ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَأُشْرِبُوا۟ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ ۚ قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُم بِهِۦٓ إِيمَـٰنُكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): “Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.

Ketika mereka berjanji untuk berpegang teguh kepada ajaran kitab Taurat, mereka melanggar perjanjian tersebut sehingga Allah Ta’ala mengancam mereka untuk menghempap mereka dengan Bukit Tursina. Mereka mengatakan bahawa mereka mendengar tetapi tidak akan mentaati perintah-Nya. Mereka enggan melaksanakan perintah Allah Ta’ala yang disampaikan oleh Nabi Musa as adalah disebabkan kecintaan terhadap patung anak lembu itu telah meresap ke dalam hati mereka. 

Sesungguhnya sangat buruk kekufuran mereka kepada ayat-ayat Allah Ta’ala dan perselisihan mereka terhadap para nabi. Bagaimana mereka mengaku beriman sedangkan mereka mengingkari janji dan melakukan syirik apabila menyembah patung anak lembu.