Surah 2: Al-Baqarah (89 – 91) 

Orang Yahudi Mengingkari Kerasulan Nabi Muhammad saw  

Surah 2: Al-Baqarah (89 – 91) 


Ayat 89

وَلَمَّا جَآءَهُمْ كِتَـٰبٌ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا۟ مِن قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَلَمَّا جَآءَهُم مَّا عَرَفُوا۟ كَفَرُوا۟ بِهِۦ ۚ فَلَعْنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

Ketika Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw yang membenarkan kitab Taurat, orang-orang Yahudi menolaknya. Mereka juga mengingkari kerasulan baginda, padahal sebelum baginda diutuskan sebagai nabi, mereka sangat mengharapkan kedatangannya bagi membantu mereka mendapatkan kemenangan melawan kaum musyrikin. Sikap inilah yang menyebabkan mereka mendapat laknat atau kutukan Allah Ta’ala. 

Ayat 90

بِئْسَمَا ٱشْتَرَوْا۟ بِهِۦٓ أَنفُسَهُمْ أَن يَكْفُرُوا۟ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بَغْيًا أَن يُنَزِّلَ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۖ فَبَآءُو بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبٍ ۚ وَلِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurnia-Nya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

Allah Ta’ala menyatakan betapa buruknya sikap Bani Israil kerana mereka menggantikan keimanan dengan kekafiran. Mereka rela dengan pertukaran yang buruk itu dan memilihnya, iaitu kafir kepada Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw. Mereka tidak mahu membenar­kannya, tidak mahu menyokong dan membantunya. Sesungguhnya yang mendorong mereka berbuat demikian hanyalah kerana kederhakaan, kedengkian dan kebencian serta kesombongan yang ada pada diri mereka terhadap kurniaan-Nya iaitu Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw. 

Oleh itu, mereka mendapat kemurkaan atas kemurkaan-Nya kerana mereka telah mensia-sia­kan kitab Taurat, padahal kitab Taurat berada di tangan mereka. Mereka juga ingkar kepada Nabi Muhammad saw yang diutus-Nya kepada mereka. 

Maka mereka dibalas dengan kehinaan di dunia dan di akhirat. Ini sebagaimana firman-Nya: 

“…………Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari me­nyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” 

Al-Mu-min 40:60 

Ayat 91

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ ءَامِنُوا۟ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ نُؤْمِنُ بِمَآ أُنزِلَ عَلَيْنَا وَيَكْفُرُونَ بِمَا وَرَآءَهُۥ وَهُوَ ٱلْحَقُّ مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَهُمْ ۗ قُلْ فَلِمَ تَقْتُلُونَ أَنۢبِيَآءَ ٱللَّهِ مِن قَبْلُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”.

Apabila dikatakan kepada orang-orang Yahudi agar beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw, mereka menyatakan bahawa cukuplah mereka hanya beriman dengan kitab Taurat. Seandainya mereka benar-benar beriman kepada kitab Taurat, pastilah mereka juga akan beriman dengan Al-Quran. Ini kerana Al-Quran membenarkan apa yang terkandung dalam kitab mereka. Jika mereka beriman dengan kitab Taurat mengapa mereka membunuh para nabi, padahal dalam kitab Taurat, mereka dilarang membunuh manusia, apatah lagi membunuh para nabi. 

Sebenarnya mereka membunuh para nabi kerana mereka melampaui batas, keras kepala dan sombong. Mereka hanya mengikuti hawa nafsu dan keinginan sendiri sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain: 

“…………….Mengapa setiap rasul yang datang kepadamu (membawa) sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai dengan keinginan kamu, kamu menyombongkan diri, lalu sebahagian daripada mereka kamu dustakan dan sebahagian lagi kamu bunuh?” 

Al-Baqarah 2:87