Surah 2: Al-Baqarah (81 – 82) 

Balasan Amal Sesuai dengan Amalannya

Surah 2: Al-Baqarah (81 – 82) 


Ayat 81

بَلَىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَـٰطَتْ بِهِۦ خَطِيٓـَٔتُهُۥ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Allah Swt menyatakan bahawa pengakuan kaum Yahudi di dalam ayat 80 adalah tidak benar. Sesungguhnya mereka akan kekal dalam neraka akibat kejahatan, dosa-dosa dan kesyirikan yang mereka lakukan. Firman-Nya dalam surah yang lain: 

“(Pahala daripada Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan ahli kitab. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan dan dia tidak mendapat pelindung dan tiada (pula) penolong baginya selain Allah.” 

An-Nisa’ 4:123 

Ayat 82

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

Orang-orang yang beriman kepada Allah Ta’ala dan Rasul-rasul-Nya dengan sebenar-benarnya serta beramal soleh yang selari dengan syariat yang ditetapkan oleh-Nya, merekalah yang layak memasuki syurga sebagaimana firman-Nya: 

“Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan sedang dia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun.” 

An-Nisa’ 4:124