Surah 2: Al-Baqarah (57 – 61)

Nikmat dan Balasan kepada Bani Israil

Surah 2: Al-Baqarah (57 – 61) 


Ayat 57

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ ٱلْغَمَامَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ ۖ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَـٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.

Allah Swt memuliakan Bani Israil dengan menjadikan awan menaungi mereka ketika keadaan panas terik dalam perjalanaan merentas padang pasir menuju ke Baitul Maqdis.  

Allah Ta’ala juga menurunkan hidangan dari langit iaitu “Manna” dan “Salwa”. Ada mufassir berpendapat bahawa “Manna” adalah sejenis makanan dan ada juga mengatakan ia adalah sejenis minuman. Manakala Ibnu ‘Abbas ra berpendapat “Salwa” adalah sejenis burung puyuh. 

Allah Swt memerintahkan mereka makan makanan yang direzekikan agar mereka beribadah hanya kepada-Nya. Namun mereka kufur dan melanggar perintah Allah Ta’ala. Dengan demikian mereka telah menzalimi diri sendiri, sedangkan mereka telah menyaksikan tanda-tanda kekuasaan-Nya, juga pelbagai penjelasan dan mukjizat yang luar biasa. 

Ayat 58

وَإِذْ قُلْنَا ٱدْخُلُوا۟ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةَ فَكُلُوا۟ مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ رَغَدًا وَٱدْخُلُوا۟ ٱلْبَابَ سُجَّدًا وَقُولُوا۟ حِطَّةٌ نَّغْفِرْ لَكُمْ خَطَـٰيَـٰكُمْ ۚ وَسَنَزِيدُ ٱلْمُحْسِنِينَ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘Ya Allah ampunilah dosa kami’; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

Allah Swt mengingatkan Bani Israil tentang nikmat yang dikurniakan kepada mereka iaitu mereka dibenarkan makan apa sahaja hasil bumi di kota Baitul Maqdis dengan syarat mereka memasuki kota tersebut sambil membongkokkan diri (tetapi bukan bersujud) dan memohon keampunan daripada-Nya. Sekiranya mereka berbuat demikian, Allah Ta’ala berjanji akan mengampuni mereka dan menambahkan kurnia, pahala serta balasan kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Ayat 59

فَبَدَّلَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ قَوْلًا غَيْرَ ٱلَّذِى قِيلَ لَهُمْ فَأَنزَلْنَا عَلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ رِجْزًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ

Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).

Namun orang-orang yang zalim lagi hina di kalangan Bani Israil menukarkan firman Allah Swt. Mereka menukar perintah daripada berjalan membongkok seraya merendahkan diri kepada mengundur seraya mengangkat kepala mereka. Mereka juga menukar perkataan “hittatun” (حِطَّةٌ) yang bermaksud “Ampunilah kesalahan kami,” kepada “hintah” (حِنْطَة) yang bermaksud “sebiji gandum.” 

Inilah puncak pembangkangan dan pengingkaran Bani Israil terhadap perintah Allah Ta’ala. Mereka mengolok-olokkan perintah-Nya, lalu Dia menurunkan seksaan dari langit akibat pembangkangan tersebut. Menurut jumhur mufassir, seksaan tersebut adalah wabak ta’un. 

Ayat 60

وَإِذِ ٱسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ فَقُلْنَا ٱضْرِب بِّعَصَاكَ ٱلْحَجَرَ ۖ فَٱنفَجَرَتْ مِنْهُ ٱثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا ۖ قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَّشْرَبَهُمْ ۖ كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ مِن رِّزْقِ ٱللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

Ketika Nabi Musa as berdoa memohon air, Allah Ta’ala memerintahkannya memukul batu dengan tongkatnya. Lalu selepas baginda memukulnya terpancarlah dua belas mata air dari batu tersebut dan sesuai dengan bilangan mereka yang terdiri daripada dua belas kabilah. Ini merupakan mukjizat daripada-Nya yang dikurniakan kepada baginda as. 

Allah Ta’ala telah mengurniakan nikmat makanan dan minuman kepada mereka. Oleh itu, diperintahkan kepada mereka beribadah kepada-Nya yang memberikan nikmat ini dan Dia melarang mereka membuat kerosakan di muka bumi dengan melakukan maksiat. 

Ayat 61

وَإِذْ قُلْتُمْ يَـٰمُوسَىٰ لَن نَّصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وَٰحِدٍ فَٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلْأَرْضُ مِنۢ بَقْلِهَا وَقِثَّآئِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَا ۖ قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ ٱلَّذِى هُوَ أَدْنَىٰ بِٱلَّذِى هُوَ خَيْرٌ ۚ ٱهْبِطُوا۟ مِصْرًا فَإِنَّ لَكُم مَّا سَأَلْتُمْ ۗ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلْمَسْكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٍ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ ۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

Allah Swt menerangkan bahawa Bani Israil tidak mensyukuri nikmat yang diberikan berupa makanan yang lazat tanpa mereka perlu bersusah payah. Mereka mengatakan bahawa mereka jemu dengan satu jenis makanan sahaja sehingga mereka meminta Nabi Musa as berdoa supaya Allah Ta’ala menumbuhkan tanam-tanaman berupa sayur-sayuran, mentimun, bawang putih, kacang dal dan bawang merah yang biasa mereka temui. 

Permohonan mereka untuk menggantikan manna dan salwa itu adalah satu bentuk kesombongan mereka yang mengkufuri nikmat yang sedia ada. Nabi Musa as membantah permohonan mereka dan mempersoalkan mengapa mereka memilih makanan yang lebih rendah mutunya dan mengabaikan makanan yang lebih bermanfaat yang dipilih oleh Allah Ta’ala kepada mereka. 

Seterusnya, Nabi Musa as memerintahkan mereka keluar dari tempat mereka menuju ke mana sahaja bagi mendapatkan apa yang mereka kehendaki. Oleh itu, mereka ditimpa kehinaan dan kemiskinan. Mereka kembali mendapat kemurkaan Allah Ta’ala. Ini kerana mereka berpaling daripada agama-Nya, mengingkari ayat-ayat-Nya, membunuh para nabi dan bermusuh-musuhan.