Penyembahan Patung Anak Lembu
Surah 2: Al-Baqarah (51 – 54)
Patung anak lembu dijadikan sembahan kaum Bani Israil
Ayat 51
وَإِذْ وَٰعَدْنَا مُوسَىٰٓ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ثُمَّ ٱتَّخَذْتُمُ ٱلْعِجْلَ مِنۢ بَعْدِهِۦ وَأَنتُمْ ظَـٰلِمُونَ
Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).
Setelah selamat daripada Firaun dan bala tenteranya, Allah Swt menjanjikan Nabi Musa as dalam masa 40 malam untuk menurunkan kitab Taurat sebagai hidayah dan cahaya kepada Bani Israil. Namun selepas pemergian Nabi Musa as, mereka menjadikan patung anak lembu sebagai sembahan mereka. Ini menunjukkan betapa teruk dan buruknya sikap Bani Israil yang telah mensyirikkan Allah Ta’ala sedangkan mereka sepatutnya bersyukur kepada-Nya atas janji-Nya tentang penurunan kitab tersebut.
Ayat 52
ثُمَّ عَفَوْنَا عَنكُم مِّنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
Namun Allah Swt memaafkan kesalahan mereka dan Dia tidak menurunkan azab seksaan agar mereka mensyukuriNya dengan beribadah kepada-Nya dan meninggalkan sembahan lain.
Ayat 53
وَإِذْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْفُرْقَانَ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
Allah Swt memberi kemuliaan kepada Nabi Musa as dengan diberinya kitab Taurat yang mengandungi petunjuk dan cahaya kebenaran. Ia adalah kitab yang membezakan antara hak dengan yang batil. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat.”
Al-Qasas 28:43
Ayat 54
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنفُسَكُم بِٱتِّخَاذِكُمُ ٱلْعِجْلَ فَتُوبُوٓا۟ إِلَىٰ بَارِئِكُمْ فَٱقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ عِندَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.
Membunuh diri adalah cara bertaubat yang disyariatkan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Musa as. Dengan cara demikian taubat mereka diterima oleh Allah Ta’ala setelah mereka mensyirikkan-Nya dengan menyembah patung anak lembu.
Ada beberapa pendapat daripada para mufassirin tentang cara pembunuhan itu, iaitu dengan salah satu daripada tiga cara berikut:
- Orang-orang yang tidak menyembah patung anak lembu itu membunuh orang yang menyembahnya.
- Orang yang menyembah patung anak lembu itu saling membunuh antara mereka.
- Orang yang menyembah anak lembu disuruh membunuh diri mereka sendiri.