Perintah supaya Memohon Pertolongan Allah Swt dengan Sabar dan Solat
Surah 2: Al-Baqarah (45 – 46)
Ayat 45
وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya agar menjadikan kesabaran dan solat sebagai penolong dalam menyelesaikan sesuatu urusan. Solat adalah cara manusia bermunajat kepada Allah Ta’ala dan pada saat mereka sujud itulah saat yang paling dekat antara seorang hamba dengan-Nya.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Keadaan seorang hamba paling dekat dengan Rabbnya adalah ketika dia sedang bersujud, maka perbanyakkanlah berdoa pada saat itu.”
(HR. Muslim)
Solat termasuk perkara besar yang menolong seseorang menetapkan untuk melakukan sesuatu perkara sebagaimana firman Allah Ta’ala:
“……….Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadah-ibadah lainnya),…………”
Al-‘Ankabut 29:45
Abi Hatim meriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab ra, beliau berkata, “Sabar itu ada dua, sabar ketika mendapat musibah, itu adalah baik namun yang lebih baik lagi adalah sabar dalam menahan diri daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah.”
Ayat 46
ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.
Ayat ini adalah ayat penjelasan kepada ayat sebelumnya iaitu solat itu benar-benar berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. Mereka ini sangat yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan dihimpunkan kelak di mahsyar untuk dihisab dan dipertanggungjawabkan segala amalan mereka. Dengan keyakinan ini terasa ringan bagi mereka melaksanakan pelbagai ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan.