
Biografi Nabi Adam ‘alaihis salam (as)
| Nama: | Adam |
| Usia: | 930 tahun |
| Tempoh Sejarah: | 5872 – 4942 SM |
| Tempat Turunnya di Bumi: | India, ada yang berpendapat di Jazirah Arab |
| Jumlah Keturunan: | 40 lelaki dan perempuan |
| Tempat Wafat: | India, ada yang berpendapat di Mekah |
| Sebutan Namanya dalam Al-Quran: | 25 kali |
Nabi Adam as merupakan seorang nabi dan juga manusia pertama yang diciptakan Allah Swt. Baginda juga digelar sebagai “bapa kepada seluruh manusia” dan isterinya, Hawa digelar sebagai “ibu kepada seluruh manusia”. Baginda telah diutuskan kepada anak, cucu dan keturunannya bagi membimbing kehidupan mereka di bumi.
Menurut riwayat, Nabi Adam as telah diciptakan daripada tanah liat dan hidup selama kira-kira 930 tahun. Kisah penciptaan dan kehidupan baginda telah disebutkan di dalam Al-Quran, dengan nama baginda disebutkan sebanyak 25 kali di dalamnya.
Perlantikan Manusia sebagai Khalifah
Allah Swt telah menyampaikan rancangan-Nya kepada para malaikat tentang penciptaan Nabi Adam as sebagai manusia dan akan menjadi khalifah yang berkhidmat untuk memakmurkan bumi, sebagaimana firman-Nya:
Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Rabbmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah? Padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Al-Baqarah 2:30
Pertanyaan para malaikat terhadap pernyataan Allah Swt itu bukanlah sebagai sanggahan terhadap kebijaksanaan Allah Ta’ala dan bukan pula kerana dengki atau iri hati terhadap Nabi Adam as serta keturunannya. Mereka adalah makhluk yang tidak pernah berbuat dosa dan tidak berkata-kata melainkan dengan izin Allah Swt. Mereka hanya ingin mendapatkan penjelasan dan hikmah di sebaliknya.
Allah Swt mencipta Nabi Adam as dari segumpal tanah liat. Setelah disempurnakan bentuknya, ditiupkanlah roh ke dalamnya dan berdirilah dia tegak menjadi manusia yang sempurna. Selain itu, Nabi Adam as dilengkapi dengan akal yang menjadikannya mampu belajar, memerhati dan memahami sesuatu.
Pengetahuan Nabi Adam as Mengenai Nama-nama Benda
Allah Swt hendak menyakinkan para malaikat akan kebenaran hikmah-Nya yang menyatakan Nabi Adam as sebagai penguasa bumi, maka diajarkan kepada baginda nama-nama benda yang berada di muka bumi. Kemudian ditunjukkan benda-benda itu di hadapan para malaikat lalu mencabar malaikat menyebut nama-nama benda itu. Para malaikat tidak berdaya menyahut cabaran Allah untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka dengan mengatakan yang mereka tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajarkan kepada mereka.
Nabi Adam as lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu nama-nama itu kepada para malaikat. Setelah diberitahu oleh baginda, terbukti kemampuan Nabi Adam as mengatasi para malaikat dari segi ilmu dan berfirmanlah Allah kepada mereka bahawa Dia sahaja yang mengetahui rahsia langit dan bumi serta mengetahui apa yang zahir dan tersembunyi.
Perintah Sujud kepada Nabi Adam as
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka mereka pun sujud kecuali iblis; ia enggan dan menyombongkan diri dan ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.
Al-Baqarah 2:34
Allah Swt memerintahkan para malaikat untuk sujud hormat kepada Nabi Adam as. Semua malaikat patuh dan taat kepada perintah Allah supaya sujud kepada baginda kecuali iblis.
Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah kerana merasa dirinya lebih mulia daripada baginda. Demikian halnya adalah disebabkan iblis diciptakan dari api sedangkan Nabi Adam as hanyalah dari tanah. Kebanggaan dengan asal-usulnya menjadikannya sombong dan tidak layak untuk bersujud menghormati Nabi Adam as seperti para malaikat yang lain walaupun telah diperintah oleh Allah.
Oleh sebab iblis membangkang dan melanggar perintah Allah Ta’ala maka ia dilaknat dan dihalau dari syurga. Iblis dengan sombongnya menerima hukuman Allah dan ia hanya bermohon agar diberi kepadanya kesempatan untuk hidup kekal sehingga Hari Kiamat. Allah memperkenankan permohonannya itu. Tanpa berterima kasih atas pemberian jaminan itu, ia sebaliknya melakukan penentangan dan bertindak sewenang-wenangnya. Ia berjanji akan menyesatkan dan menghalang keturunan Nabi Adam as daripada mengikuti jalan kebenaran. Ia akan menjadikan keturunan baginda memandang baik jalan-jalan yang sesat dan menyimpang, lalu mereka tidak lagi mentauhidkan Allah.
Kemudian, Allah berfirman bahawa Iblis tidak akan berjaya menyesatkan hamba-Nya yang beriman dengan sepenuh hati.
Nabi Adam as Tinggal di Syurga Bersama Isterinya
Nabi Adam as diberi tempat oleh Allah Swt di syurga dan baginya diciptakan Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunannya. Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk Adam yang di sebelah kiri pada waktu baginda masih tidur.
Allah Swt berpesan kepada Nabi Adam as sepertimana firman-Nya:
Dan Kami berfirman, “Wahai Adam, tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah makanan-makanan yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai. Dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.
Al-Baqarah 2:35
Nabi Adam as dan isterinya boleh menikmati segala kenikmatan yang ada di dalam syurga yang banyak lagi baik di mana sahaja yang mereka suka kecuali mereka dilarang mendekati pohon larangan agar mereka tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.
Tipu Daya Iblis terhadap Nabi Adam as
Disebabkan iblis iri hati kepada Nabi Adam as dan isterinya, maka ia membuat perancangan jahat berupa tipu daya kepada mereka berdua untuk merampas kenikmatan mereka. Lalu ia menjadikan mereka memandang baik apa yang membahayakan diri mereka.
Iblis membisikkan kepada kedua-duanya bahawa Allah Ta’ala tidak melarang mereka memakan dari pohon itu kecuali dengan dua sebab iaitu mereka akan menjadi malaikat atau kekal di syurga.
Iblis terus-menerus memperdaya dan menggoda kedua-duanya dengan mendorong mereka memakan dari pohon tersebut dengan janji dan sumpah yang diperkuatkan sehingga kedua-duanya lupa terhadap peringatan Allah Ta’ala tentang Iblis itu adalah musuh mereka.
Akhirnya iblis berjaya membuatkan Nabi Adam as dan isterinya makan buah dari pohon itu. Ketika mereka memakan buah tersebut maka nampaklah aurat mereka. Lalu bersegeralah mereka menjadikan daun demi daun dari pohon itu untuk menutup aurat mereka.
Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud:
…‘Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu, ‘Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?’”
Al-‘Araf 7:22
Nabi Adam as dan Hawa menyedari kesalahan mereka kerana menuruti ajakan iblis. Mereka sangat menyesali perbuatan mereka, lalu segera bertaubat dengan penuh rendah hati. Mereka mengucapkan doa yang diilhamkan oleh Allah Ta’ala kepada mereka seperti di bawah:

Lalu Allah Ta’ala yang Maha Pengasih memperkenankan doa mereka dan menerima taubat mereka.
Nabi Adam as dan Hawa Diturunkan ke Bumi
“Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, maka tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan mereka tidak (juga) bersedih hati.”
Al-Baqarah 2:38
Setelah Allah Ta’ala menerima taubat Nabi Adam as dan isterinya, Dia memerintahkan mereka turun ke bumi. Allah Swt memberi peringatan kepada mereka bahawa Dia akan mengutuskan rasul-rasul dan menurunkan kitab-kitab sebagai pembimbing dan petunjuk kepada anak cucu Nabi Adam as. Oleh itu, sesiapa yang menerima kitab-kitab yang diturunkan dan menyambut baik para rasul yang diutuskan, nescaya tiada kebimbangan baginya berkaitan dengan akhirat yang akan dihadapi. Dia juga tidak akan bersedih atas pelbagai urusan dunia yang tidak diperoleh.