Surah Al-Masad

Surah Al-Masad

Surah Al-Masad


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:111
Juzuk:30
Jumlah Ayat:5
Maksud Surah:Tali Sabut
Nama Lain:Al-Lahab, Tabbat

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Masad (المسد) bererti “Tali Sabut” kerana diambil daripada perkataan Al-Masad yang terdapat pada ayat terakhir surah ini.

Surah ini menceritakan tentang balasan azab terhadap bapa saudara Nabi Muhammad saw iaitu Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil kerana menentang dakwah baginda.

Surah ini adalah bukti mukjizat kerana surah ini turun ketika Abu Lahab masih hidup dan dia akan mati dalam kekufuran, dan hal itu benar-benar berlaku sepertimana yang dikhabarkan.

Isi Kandungan Utama

Kecelakaan Abu Lahab: Kebinasaan menimpa ke atas Abu Lahab akibat permusuhannya yang keras terhadap Nabi Muhammad saw.

Harta Tidak Berguna: Kekayaan dan kedudukan darjat Abu Lahab tidak mampu menyelamatkannya daripada azab Allah Swt.

Balasan Isteri Abu Lahab: Isterinya yang menyebar fitnah dan menentang Islam akan dicampakkan ke dalam neraka dengan tali sabut dipintal di lehernya.


Ayat 1

تَبَّتْ يَدَآ أَبِى لَهَبٍ وَتَبَّ

Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

Maksud “Kedua-dua tangan Abu Lahab” dalam ayat ini ialah diri Abu Lahab. Disebutkan kedua-dua tangan adalah kerana itulah dua anggota yang digunakan untuk bekerja dan memukul. Jika kedua-duanya telah binasa, orang yang memiliki tangan itu turut binasa.

Kelima-lima ayat yang mulia ini diturunkan untuk membantah Abu Lahab iaitu bapa saudara Rasulullah saw.

Nama sebenarnya ialah ‘Abdul ‘Uzza bin ‘Abdul Mutalib dan gelaran kuniyahnya ialah Abu ‘Utaibah. Disebutkan dengan nama Abu Lahab adalah kerana wajahnya berseri-seri. Dia sangat membenci dan sering menyakiti serta menghina Rasulullah saw dan agama baginda.

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa pada suatu hari Nabi saw keluar menuju Batha’ (tanah lapang di sekitar Kaabah), kemudian baginda naik ke atas bukit lalu berseru:

“Wahai sekalian manusia.” Maka orang-orang Quraisy pun berkumpul. Kemudian baginda bertanya:

“Bagaimana, sekiranya aku memberitahu kalian, bahawa musuh (di balik bukit ini) akan segera menyerang kalian, apakah kalian akan membenarkanku?” Mereka menjawab, “Ya. Kami mempercayaimu.” Baginda bersabda lagi:

“Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan bagi kalian. Sesungguhnya di hadapanku akan ada azab yang pedih.” Maka Abu Lahab pun berkata, “Apakah hanya kerana itu kamu mengumpulkan kami? Sungguh kecelakaanlah bagimu.” Maka Allah menurunkan ayat,

تَبَّتْ يَدَآ ‎أَبِى لَهَبٍ

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.” hingga akhir surah.

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 2

مَآ أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ

Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan.

Seluruh harta dan anak-anaknya serta segala apa yang dia usahakan tidak akan berguna baginya kerana semua itu tidak dapat menolongnya di akhirat kelak.

Ketika Rasulullah saw menakut-nakutkannya dengan azab, Abu Lahab berkata, “Jika apa yang telah dikatakan oleh anak saudaraku itu benar, maka sesungguhnya aku akan menebus diriku daripada azab itu dengan harta benda dan anak-anakku.” Lalu turunlah ayat ini.

Ayat 3

سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ

Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (neraka).

Inilah kemurkaan Allah Swt kepada Abu Lahab dan balasannya adalah api neraka yang panas menyala lagi bergejolak.

Ayat 4

وَٱمْرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلْحَطَبِ

Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah).

Ayat 5

فِى جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍۭ

Di lehernya ada tali daripada sabut yang dipintal.

Isteri Abu Lahab bernama Arwa binti Harb bin Umayyah dan gelaran kuniyahnya ialah Ummu Jamil. Dia menjadi pembantu suaminya itu menentang dan mengingkari Rasulullah saw.

Menurut Al-‘Aufi, Ummu Jamil meletakkan duri di atas jalan yang dilalui baginda. Oleh itu, dia akan bersama dengan Abu Jahal diseksa di dalam Neraka Jahannam. Pada leher Ummu Jamil tergantung tali yang dibuat daripada sabut yang dipintal.

Menurut Mujahid dan ‘Urwah, sabut itu adalah daripada api neraka. Ada yang mentafsirkannya sebagai rantai daripada besi kerana orang-orang Arab menyebutnya dengan “Masad”.

Beginilah balasan bagi musuh-musuh Allah Swt dan Rasul-Nya. Ini menjadi pengajaran kepada manusia yang cuba menghalang dan menentang apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya. Mereka hanya menurut hawa nafsu dalam mempertahankan kepercayaan yang salah dan adat istiadat yang karut.