
Surah An-Nasr
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 110 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 3 |
| Maksud Surah: | Pertolongan |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan An-Nasr “Pertolongan” kerana diambil daripada perkataan نَصرُ yang terdapat dalam ayat pertama surah ini.
Surah ini menceritakan tentang janji kemenangan dan pertolongan Allah Swt kepada agama Islam serta perintah untuk memperbanyakkan tasbih dan istighfar.
Para sahabat memahami bahawa surah ini juga memberi isyarat bahawa tugas dakwah Nabi Muhammad saw di dunia telah hampir sempurna dan ajal baginda sudah dekat.
Isi Kandungan Utama
Pertolongan dan Kemenangan: Allah Swt berjanji bahawa pertolongan-Nya pasti tiba dan kemenangan Islam akan berlaku, merujuk kepada peristiwa Pembukaan Kota Mekah.
Manusia Masuk Islam: Penduduk Arab berduyun-duyun memeluk agama Islam selepas kemenangan tersebut.
Perintah Bertasbih dan Beristighfar: Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw agar mengagungkan nama-Nya, memuji-Nya dan memohon keampunan (bersitighfar) sebagai tanda syukur.
Ayat 1
إِذَا جَآءَ نَصْرُ ٱللَّهِ وَٱلْفَتْحُ
Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.
Ungkapan dalam ayat di atas ditujukan kepada Rasulullah saw. Baginda diingatkan oleh Allah Swt bahawa apabila Dia memberikan pertolongan kepada baginda dan orang-orang beriman dalam menghadapi dan mengalahkan musuh-musuh-Nya serta dibukakan pula kota Mekah, itu bermakna kemenangan berada bagi pihak baginda.
Ayat 2
وَرَأَيْتَ ٱلنَّاسَ يَدْخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفْوَاجًا
Dan engkau melihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw akan dapat menyaksikan orang Arab berduyun-duyun memeluk agama Islam tanpa berlaku peperangan dan pembunuhan.
Orang-orang Arab dari semua kawasan datang kepada Rasulullah saw dalam keadaan taat untuk masuk Islam. Mereka masuk Islam secara beramai-ramai sedangkan sebelum ini para sahabat masuk Islam seorang demi seorang kerana sangat takut kepada kezaliman kaum kafir Quraisy.
Ayat 3
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَٱسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابًۢا
Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan baginda mengungkapkan rasa syukur kepada-Nya atas pemberian nikmat ini iaitu pembebasan kota Mekah dan masuknya orang-orang kafir ke dalam Islam serta hancurnya agama yang batil. Selain itu, baginda diperintahkan agar meminta keampunan kepada-Nya atas dosa-dosa yang telah dilakukan kerana sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.
Turunnya surah ini menandakan saat ajal Rasulullah saw telah dekat. Peristiwa penaklukan kota Mekah itu terjadi pada bulan Ramadhan tahun ke-8 Hijrah, dan baginda wafat pada bulan Rabiulawal, tahun ke-10 Hijrah.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, ketika turun ayat, “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan,” Rasulullah saw bersabda:
“Ajal kematianku telah disampaikan kepadaku.”
Maka baginda pun wafat pada tahun ini.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra, dia berkata, “Rasulullah saw dalam rukuk dan sujud memperbanyak membaca:
”سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي“
(“Maha Suci Engkau ya Allah, wahai Rabb Kami dan dengan memuji Engkau, ya Allah, ampunilah aku.”)
Baginda memperbanyak bacaan tersebut kerana mengamalkan surah An-Nasr ini.
Dalam hadis yang lain, ‘Aisyah ra berkata ketika Rasulullah saw mendekati akhir hidupnya, baginda sering membaca:
”سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ“
(“Maha Suci Allah, dan dengan memuji-Nya, aku memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.”)
Dan baginda bersabda:
“Sesungguhnya Rabbku telah memberitahuku bahawa aku akan melihat suatu tanda pada umatku. Dan ketika aku melihatnya, Dia menyuruh aku bertasbih dengan memuji-Nya dan memohon keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat. Dan aku telah melihatnya, ‘Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.’”
(HR Ahmad dan Muslim)