Surah 2: Al-Baqarah (40 – 41)

Peringatan kepada Bani Israil tentang Nikmat Allah Swt

Surah 2: Al-Baqarah (40 – 41) 


Ayat 40

يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا۟ بِعَهْدِىٓ أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّـٰىَ فَٱرْهَبُونِ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Ku-berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku, supaya Aku sempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Aku-lah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

Israil adalah sebutan bagi Nabi Yaakub as. Bani Israil adalah keturunan Nabi Yaakub as dan sekarang ini dikenali sebagai bangsa Yahudi. 

Antara janji Bani Israil kepada Allah Swt ialah mereka hanya akan menyembah Allah Ta’ala, tidak menyekutukan-Nya serta beriman kepada Nabi Muhammad saw yang disebutkan di dalam Taurat. 

Dalam ayat ini, Allah Swt memerintahkan keturunan Nabi Yaakub as agar mengingati segala nikmat yang dilimpahkan kepada mereka serta bersyukur kepada-Nya. Antara nikmat yang Dia anugerahkan kepada mereka ialah mereka dinaungi awan, hidangan manna dan salwa dari langit serta terselamat daripada dikejar oleh Firaun dan tenteranya. 

Mereka juga diperintahkan agar takut kepada Allah Swt dengan memenuhi wasiat-Nya kepada mereka iaitu bahawa mereka akan mengimani kitab-kitab-Nya dan semua rasul-rasul-Nya serta mengamalkan ajaran-ajaran daripada syariat-Nya. Jika mereka melakukannya nescaya Dia akan penuhi janji-janji-Nya iaitu berupa pemberian rahmat di dunia dan keselamatan di akhirat. 

Firman Allah Swt dalam surah yang lain: 

“Dan sesungguhnya Allah telah mengambil Perjanjian (daripada) Bani Israil dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman, ‘Aku bersama kamu. Sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasulKu dan kamu membantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, pasti Aku akan menutupi dosa-dosamu, dan pasti akan Aku masukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Tetapi barangsiapa kafir di antaramu setelah itu, maka sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan yang lurus.’” 

Al-Ma’idah 5:12 

Ayat 41

وَءَامِنُوا۟ بِمَآ أَنزَلْتُ مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُمْ وَلَا تَكُونُوٓا۟ أَوَّلَ كَافِرٍۭ بِهِۦ ۖ وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِى ثَمَنًا قَلِيلًا وَإِيَّـٰىَ فَٱتَّقُونِ

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Aku-lah sahaja hendaklah kamu bertakwa.

Ayat ini merupakan perintah Allah Swt kepada Bani Israil agar beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Beriman kepada Al-Quran bermakna mengikuti isi kandungannya dan menerima baginda sebagai seorang rasul. Allah Swt menerangkan bahawa Al-Quran membenarkan apa yang terkandung di dalam kitab Taurat iaitu padanya telah disebutkan tentang kehadiran Nabi Muhammad saw. Oleh itu, tidak sepatutnya mereka menjadi kelompok pertama daripada kalangan ahli kitab yang mengingkarinya. 

Allah Swt mengingatkan mereka supaya tidak menukarkan keimanan yang menjamin kebahagiaan yang kekal selama-lamanya dengan memilih kenikmatan dunia yang akan lenyap. Dalam ayat ini juga terdapat perintah Allah Ta’ala agar mereka bertakwa. Takwa bermaksud taat kepada-Nya dengan mengharap rahmat-Nya dan meninggalkan maksiat kerana takut kepada seksaan-Nya.