Surah Al-Kauthar

Surah Al-Kauthar

Surah Al-Kauthar


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:108
Juzuk:30
Jumlah Ayat:3
Maksud Surah:Nikmat yang Banyak

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Kauthar kerana diambil daripada perkataan الكَوثَر, “Nikmat Yang Banyak” yang ada pada ayat pertama surah ini. Surah ini merupakan surah yang paling pendek dalam Al-Quran.

Surah ini diturunkan untuk menghibur dan menenangkan hati Nabi Muhammad saw daripada ejekan golongan musyrik yang mengatakan baginda terputus keturunan.

Surah ini juga mengandungi ajaran tentang kewajipan bersyukur atas nikmat yang telah dilimpahkan Allah Swt.

Isi Kandungan Utama

Pemberian Nikmat: Allah Swt mengurniakan nikmat yang melimpah-ruah kepada Nabi Muhammad saw, termasuklah kurniaan sungai Al-Kauthar di syurga.

Perintah Beribadah: Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw dan umatnya agar sentiasa menunaikan solat ikhlas kerana-Nya dan melakukan ibadah korban sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat.

Pembelaan Allah Swt: Orang yang membenci Nabi Muhammad saw dan memanggil baginda terputus keturunan (berhubung kematian anak lelaki baginda) sebenarnya merekalah yang terputus daripada rahmat Allah dan sebutannya akan terpadam.


Ayat 1

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ

Sesungguhnya Kami telah memberi kepada engkau (Muhammad) nikmat yang banyak.

Allah Swt menyebutkan bahawa Dia mengurniakan banyak nikmat kepada Nabi Muhammad saw, antaranya ialah Dia telah menjanjikan Al-Kauthar iaitu sungai di syurga untuk baginda. Selain itu, diberikan kenabian kepada baginda sebagai pembawa risalah-Nya, diangkat darjatnya dan mendapat tempat yang tinggi.

Ada juga pendapat yang mengatakan Al-Kauthar merupakan sebuah telaga Nabi Muhammad saw di padang Mahsyar seperti yang terdapat dalam beberapa hadis.

Kedua-dua pendapat tersebut adalah pendapat yang paling kuat. Ini menjelaskan bahawa Al-Kauthar merupakan sungai di syurga dan telaga tempat minum umat Nabi Muhammad saw kelak pada Hari Kiamat.

Daripada Anas ra, dia berkata, “Ketika kami sedang berkumpul di masjid bersama dengan Rasulullah saw, tiba-tiba baginda tertidur sebentar. Kemudian baginda mengangkat kepala dan tersenyum. Kami pun bertanya, ‘Apakah yang membuatkan engkau tersenyum, wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda:

‘Tadi telah turun kepadaku suatu surah.’ Lalu baginda membaca ayat 1-3 surah ini. Kemudian baginda bersabda lagi, ‘Tahukah kalian apakah Al-Kauthar itu?’ Kami pun menjawab, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’” Baginda bersabda:

“Sesungguhnya Al-Kauthar ini adalah suatu sungai yang dijanjikan oleh Allah Swt kepadaku. Sungai tersebut memiliki kebaikan yang banyak. Ia adalah telaga yang nanti akan didatangi oleh umatku pada Hari Kiamat. Jumlah (bejananya) sebilangan bintang di langit. Maka seorang hamba di antara mereka ada yang tertahan (sehingga tidak dapat mendatanginya), lalu aku berkata, ‘Wahai Rabb-ku, sesungguhnya dia termasuk golongan umatku.’ Lalu Allah berfirman, ‘Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang dia lakukan sepeninggalanmu.’”

(HR. Muslim)

Ayat 2

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ

Maka laksanakanlah solat kerana Rabbmu, dan berkorbanlah.

Kemudian Allah Swt menyatakan sebagaimana Dia telah memberikan pelbagai kenikmatan kepada Nabi Muhammad saw, maka Dia memerintahkan baginda agar memurnikan solat baik yang wajib mahupun yang sunat dan melaksanakan korban kerana-Nya.

Ayat ini juga bermaksud hendaklah bersyukur atas pelbagai nikmat daripada Allah Swt dengan solat hanya kepada-Nya, tidak menyekutukan-Nya dan jangan sembelih kecuali hanya untuk-Nya. Semua ini merupakan pelajaran untuk umat Rasulullah saw.

Ada juga pendapat yang mengatakan solat dalam ayat ini adalah solat Eidul Adha dan sembelih adalah sembelihan haiwan korban.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb seluruh alam, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama berserah diri (muslim).’”

Al-An’am 6:162-163

Ini bertentangan dengan apa yang dilakukan orang-orang musyrik yang bersujud kepada selain Allah Swt dan berkorban atas nama selain-Nya sebagaimana firman-Nya:

“Dan janganlah kamu memakan daripada apa (sembelihan haiwan) yang (ketika disembelih) tidak disebut nama Allah, perbuatan itu benar-benar suatu kefasikan……….”

Al-An’am 6:121

Ayat 3

إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ

Sesungguhnya, orang-orang yang membencimu, dialah yang terputus.

Ada di kalangan orang-orang Quraisy menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw terputus iaitu tidak lagi memiliki keturunan apabila anak lelaki baginda iaitu Al-Qasim meninggal dunia.

Maka Allah Swt membalasnya dengan meninggikan pujian kepada baginda. Baginda akan dipuji oleh orang-orang terdahulu dan kemudian. Dia mengangkat nama baginda di tempat yang tinggi terus menerus di hadapan seluruh manusia hingga ke Hari Kebangkitan dan Pembalasan.

Sedangkan orang-orang yang membenci dan memusuhi Rasulullah saw adalah orang-orang yang terputus daripada rahmat-Nya, paling hina dan tidak ada lagi penyebutan pujian untuknya setelah kematiannya.