Surah Al-Ma’un

Surah Al-Ma'un

Surah Al-Ma’un


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:107
Juzuk:30
Jumlah Ayat:7
Maksud Surah:Barang-barang yang Berguna

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Ma’un “Barang-barang Yang Berguna” kerana diambil daripada perkataan ٱلْمَاعُونَ pada ayat terakhir surah ini.

Surah ini mengecam golongan yang mendustakan agama, iaitu mereka yang tidak meyakini adanya Hari Kebangkitan dan mengaku beriman tetapi mempamerkan ciri-ciri akhlak yang buruk terhadap agama dan masyarakat.

Isi Kandungan Utama

Mendustakan Agama: Orang yang menindas anak yatim dan tidak menggalakkan pemberian makanan kepada orang miskin.

Lalai dalam Solat: Orang yang solat tetapi alpa dan lalai daripada menepati waktu serta maksud solat itu sendiri.

Sikap Riak: Orang yang melakukan amal ibadah kerana ingin dipuji oleh manusia, bukan kerana Allah Swt.

Enggan Membantu: Golongan yang enggan memberikan pertolongan kepada orang lain walaupun dengan barangan atau keperluan asas yang berguna.


Ayat 1

أَرَءَيْتَ ٱلَّذِى يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ

Tidakkah engkau tahu orang yang mendustakan agama?

Ayat 2

فَذَٰلِكَ ٱلَّذِى يَدُعُّ ٱلْيَتِيمَ

Itulah orang yang mengherdik anak yatim.

Ayat 3

وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ

Dan tidak membantu untuk memberi makan kepada orang miskin.

Dalam ayat 1-3 ini, Allah Swt menjelaskan sikap orang-orang yang mendustakan agama iaitu orang-orang yang tidak meyakini adanya Hari Kebangkitan dan pemberian pahala, antaranya ialah:

▪️  Menolak untuk menyantuni anak yatim, malah mengherdik dan menyusahkan anak tersebut.

Anak yatim dibiarkan tanpa dibela, diasuh atau dididik, malahan ada yang dizalimi dengan mengkhianati hak dan hartanya sekiranya anak yatim tersebut mewarisi harta bapanya.

▪️  Tidak mahu mengajak orang lain berikhtiar memberi bantuan makan dan minum kepada orang-orang fakir miskin.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim. Dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin.”

Al-Fajr 89:17-18

Ayat 4

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat.

Ayat 5

ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

(Iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solat mereka.

Ada beberapa tafsiran untuk kedua-dua ayat ini, iaitu:

▪️  Ibnu ‘Abbas ra dan lain-lain mengatakan maksudnya ialah celakalah orang-orang munafik yang melaksanakan solat hanya ketika berada di kalangan orang ramai namun meninggalkan solat ketika bersendirian.

▪️  Ibnu ‘Abbas ra, Masruq dan Abudh Dhuha mengatakan celakalah orang-orang yang melaksanakan solat dan juga istiqamah dengannya tetapi kemudiannya mereka lalai dengan solatnya, baik secara keseluruhan mahupun lalai melaksanakan dalam waktu yang ditetapkan secara syarie.

▪️  ‘Ata’ bin Dinar mengatakan orang yang lalai terhadap solatnya merangkumi perkara-perkara berikut:

i)     Tidak mengerjakan solat pada awal waktu dan sering menunda-nunda hingga akhir waktu.

ii)    Tidak melaksanakan rukun-rukun dan syarat-syaratnya seperti yang telah ditetapkan.

iii)   Tidak menjaga kekhusyukan dalam solat.

iv)   Tidak merenung makna-makna bacaan dalam solat.

Orang-orang yang memiliki salah satu sifat-sifat lalai yang disebutkan di atas, dia termasuk dalam ayat di atas. Manakala jika orang itu memiliki kesemua sifat lalai di atas, maka dia adalah seorang munafik.

Rasulullah saw bersabda:

“Demikian itulah solat orang munafik. Demikian itulah solat orang munafik. Demikian itulah solat orang munafik. Dia duduk mengamati matahari (tidak bangun melakukan solat) sehingga pada saat matahari berada di antara dua tanduk syaitan, maka barulah dia bangun melakukan solat (Asar) lalu mematuk-matuk empat rakaat (tergesa-gesa tanpa tomakninah). Dia tidak mengingati Allah dalam (solat) kecuali sedikit.”

(HR. Muslim)

Ayat 6

ٱلَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ

Orang-orang yang menampak-nampakkanya (riya’).

Riya’ ialah melakukan perbuatan bukan untuk mencari keredhaan Allah Swt, tetapi untuk mendapatkan pujian atau kemasyhuran dalam masyarakat.

Oleh itu, orang yang solat kerana riya’ sama sahaja dengan orang yang tidak solat secara keseluruhan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu hendak menipu Allah, tetapi Allah-lah yang menipu mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat mereka melakukan dengan malas. Mereka riya’ (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan mereka tidak ingat akan Allah kecuali sedikit sekali.”

An-Nisa’ 4:142

Abu Yazid berkata bahawa dia mendengar ‘Abdullah bin ‘Amr mengatakan Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang memperdengarkan amalannya di hadapan orang lain, maka Allah akan memperdengarkan amalannya di hadapan pendengar (daripada kalangan) makhluk-Nya. Dan Dia akan merendahkan dan menghinanya.”

(HR. Ahmad)

Ayat 7

وَيَمْنَعُونَ ٱلْمَاعُونَ

Dan enggan (memberikan) bantuan.

Sebahagian mufassir mengatakan maksud bantuan dalam ayat ini ialah enggan membayar zakat dan membelanjakan hartanya untuk jalan-jalan kebaikan ataupun enggan meminjamkan sesuatu yang bermanfaat bagi membantu orang lain.