
Surah Al-Fil
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 105 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 5 |
| Maksud Surah: | Gajah |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Fil “Gajah” kerana diambil daripada perkataan ٱلْفِيل pada ayat pertama surah ini.
Surah ini menceritakan kisah kegagalan angkatan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah untuk meruntuhkan Kaabah.
Isi Kandungan Utama
Kisah Tentera Bergajah: Abrahah bersama tenteranya yang menaiki gajah datang dari Yaman ke Mekah dengan niat mahu menghancurkan Kaabah.
Pertolongan Allah Swt: Allah Swt menggagalkan niat jahat mereka dengan menghantar sekumpulan burung yang mencampakkan batu-batu kecil berapi dari neraka.
Kesan Pemusnahan: Tentera tersebut hancur binasa dan mati bergelimpangan seperti daun-daun kering yang dimakan ulat.
Ayat 1
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَـٰبِ ٱلْفِيلِ
Tidakkah engkau (Muhammad) memperhatikan bagaimana Rabbmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?
Ini adalah suatu nikmat yang diberikan oleh Allah Swt kepada kaum Quraisy. Dia telah melindungi mereka daripada tentera bergajah yang bertekad untuk menghancurkan Kaabah dan melenyapkannya daripada muka bumi Mekah. Dia menghinakan dan menggagalkan usaha mereka serta memusnahkan mereka.
Pertanyaan Allah Swt dalam ayat ini sepatutnya menimbulkan rasa takjub kaum Quraisy kepada-Nya kerana Dia telah bertindak terhadap pasukan tentera bergajah tersebut yang diketuai oleh Abrahah dari Yaman. Abrahah telah membina sebuah gereja di Shan’a’ dengan tujuan supaya orang-orang Arab memusatkan ibadah haji mereka ke sana dan tidak lagi menziarahi dan beribadah di Kaabah yang terletak di Kota Mekah. Dia menyuarakan hasratnya itu ke seluruh wilayah kerajaannya.
Perkara ini menimbulkan kemarahan kaum Quraisy Mekah sehingga ada yang mendatangi gereja dan membuat kerosakan di dalamnya. Abrahah pun bersumpah bahawa dia akan menyerang dan menghancurkan Kaabah.
Ada yang mengatakan Abrahah menunggang gajah yang begitu besar yang belum pernah ada gajah lain sebesar itu. Ada yang mengatakan 8 ekor yang dibawa bersama. Ada juga yang mengatakan dibawa bersama 12 ekor selain yang ditunggangi Abrahah. Namun dalam perjalanan menuju Kaabah, Allah Swt telah mengirimkan kepada mereka apa yang dikisahkan-Nya melalui firman selanjutnya.
Ayat 2
أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِى تَضْلِيلٍ
Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?
Allah Swt telah menjadikan segala usaha mereka untuk menghancurkan Kaabah sia-sia dan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kehinaan, kerugian dan kebinasaan.
Ayat 3
وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ
Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berpasuk-pasukan (yang banyak jumlahnya)
Allah Swt mengirimkan burung-burung yang berbondong-bondong atau yang bergelombang secara berturut-turut menyerang pasukan tentera Abrahah ini. Setiap burung membawa tiga biji batu, sebiji di paruhnya dan dua biji lagi di kedua-dua belah kakinya.
Ayat 4
تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ
Yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar.
Burung-burung itu melempari mereka dengan batu tersebut yang berasal daripada tanah liat yang dibakar. Ada pendapat yang mengatakan batu yang dibakar dengan api dari Neraka Jahannam.
Ayat 5
فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍۭ
Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).
Keadaan mereka seperti daun-daun yang telah dimakan. Sa’id bin Jubair dan Al-Hasan Al-Basri mentafsirkannya sebagai jerami yang dipotong-potong yang dijadikan makanan binatang. Setiap seorang tentera bergajah yang terkena batu maka dagingnya terus melepuh dan hancur. Akhirnya seluruh tentera Abrahah hancur.
Ada yang berpendapat hal ini terjadi menjelang tahun kelahiran Nabi Muhammad saw dan ada juga berpendapat berlaku selepas kelahirannya. Walau bagaimanapun pendapat yang masyhur mengatakan bahawa peristiwa hancurnya tentera bergajah ini berlaku pada tahun Rasulullah saw dilahirkan.
Inilah pertolongan Allah Swt kepada penduduk-penduduk tanah suci-Nya dan para penjaga rumah-Nya. Oleh itu orang-orang Arab sentiasa menghormati Kaabah, menjaga kesuciannya dan penduduknya hingga ke saat ini.
Pada hari penaklukan kota Mekah, Rasulullah saw telah bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah mempertahankan kota Mekah daripada serangan tentera bergajah dan Dia menguasakannya kepada Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Dan sungguh, kesucian kota Mekah telah kembali seperti asalnya pada hari ini seperti kesuciannya pada hari kelmarin. Ingatlah! Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)