
Surah Al-Humazah
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 104 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 9 |
| Maksud Surah: | Pengumpat |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Humazah “Pengumpat” yang diambil daripada ayat pertama surah ini.
Surah ini memberi amaran keras terhadap sikap suka menghina orang lain dan taksub kepada harta kekayaan.
Isi Kandungan Utama
Amaran Mengumpat: Allah Swt memberi kecelakaan kepada orang yang suka mencela dan mengumpat.
Sikap Taksub Harta: Golongan ini sombong kerana merasa harta yang dikumpul dan dihitung itu boleh mengekalkan hidup mereka di dunia.
Azab Neraka Hutamah: Mereka akan dicampakkan ke dalam Neraka Hutamah, iaitu api neraka yang menyala-nyala dan membakar hingga ke hati.
Ayat 1
وَيْلٌ لِّكُلِّ هُمَزَةٍ لُّمَزَةٍ
Celakalah bagi setiap pengumpat lagi pencela.
Al-Hammaz adalah mengumpat dengan kata-kata, manakala Al-Lammaz dengan perbuatan. Maksudnya memandang rendah dan meremehkan orang lain.
Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Mereka adalah orang-orang yang berjalan ke sana ke sini dengan mengadu domba, merosakkan hubungan antara para sahabat dan menuduh orang-orang yang tidak bersalah.”
‘Ata’ bin Abi Rabah mengatakan maksud ‘Al-Humazah’ adalah orang yang selalu memfitnah dan mengaibkan orang lain semasa berhadapan dengannya. Manakala ‘Al-Lumazah’ adalah orang yang selalu membuat fitnah tentang akhlak orang lain ketika orang tersebut tidak ada bersama-samanya.
Manakala Mujahid berkata, “Humazah” itu mencela dengan tangan dan mata, sedangkan “Lumazah” adalah mengumpat dengan lidah.”
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Yang suka mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah.”
Al-Qalam 68:11
Allah Swt mengancam akan memasukkan ke dalam neraka sesiapa sahaja yang suka mengumpat, mencerca serta memberikan gelaran yang bertujuan memburuk-burukkan orang lain.
Kalimah ‘وَيْلٌ’ dalam ayat ini adalah sebagai simbol kecelakaan kepada orang-orang yang melakukan perkara-perkara tersebut.
Meskipun surah ini ditujukan kepada tokoh-tokoh Quraisy yang sangat memusuhi Nabi Muhammad saw dan terlampau menghina baginda serta para sahabatnya, namun ia juga ditujukan kepada umum.
Ayat 2
ٱلَّذِى جَمَعَ مَالًا وَعَدَّدَهُۥ
Yang mengumpulkan harta lagi menghitung-hitung.
Kemudian Allah Swt menyebutkan pula sifat lain yang ada pada pengumpat dan pencela tersebut yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka. Mereka suka mengumpulkan harta dan menghitung-hitung jumlahnya baik yang haram mahupun yang halal, dan hartanya itu telah menjadikan mereka lalai beribadah kepada-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan orang yang mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya.”
Al-Ma’arij 70:18
Ayat 3
يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُۥٓ أَخْلَدَهُۥ
Dia (manusia) menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya.
Mereka sentiasa menghitung harta mereka untuk mengetahui jumlah yang telah dikumpulkan serta menyiapkan harta tersebut untuk seluruh hidup sebagaimana yang mereka sangkakan. Ini kerana pada sangkaan mereka, mereka akan kekal di dunia kerana mempunyai harta yang banyak. Betapa takjubnya mereka dengan harta yang mereka kumpulkan sehingga tidak mempersiapkan bekalan untuk Hari Kiamat.
Ayat 4
كَلَّا ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلْحُطَمَةِ
Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Hutamah.
Kemudian Allah Swt menyanggah sangkaan mereka itu kerana perkara yang sebenarnya ialah harta benda tidak akan menjadikan mereka kekal hidup di dunia.
Demi kemuliaan dan keagungan Allah Swt, mereka yang menghimpun harta dan yang menghitung-hitungnya pasti benar-benar akan dicampakkan ke dalam Hutamah yang membakar segala sesuatu yang dilemparkan ke dalamnya.
Ayat 5
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا ٱلْحُطَمَةُ
Dan tahukah kamu apakah Hutamah itu?
Pertanyaan ini adalah untuk menegaskan kengerian Neraka Hutamah.
Ayat 6
نَارُ ٱللَّهِ ٱلْمُوقَدَةُ
(Iaitu) api (yang disediakan oleh) Allah yang dinyalakan.
Ayat 7
ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلْأَفْـِٔدَةِ
Yang (membakar) naik sampai ke hati.
Hutamah adalah nama lain bagi neraka, dinamakan demikian kerana neraka tersebut menghancurkan orang yang di dalamnya. Sifatnya menyala-nyala dan menjilat-jilat yang mampu menembus ke hati hingga membakarnya.
Thabit Al-Bunani mengatakan bahawa api Neraka Hutamah itu membakar mereka sampai ke hati, sedangkan mereka dalam keadaan tetap hidup. Muhammad bin Ka’ab mengatakan bahawa api Neraka Hutamah membakar semua anggota tubuh penghuninya dan apabila api itu sampai ke hati dan mencapai batas kerongkongnya, maka api itu kembali pula ke tubuhnya.
Ayat 8
إِنَّهَا عَلَيْهِم مُّؤْصَدَةٌ
Sesungguhnya api itu ditutup rapat di atas (diri) mereka.
Neraka akan tertutup rapat dan terkunci sehingga mereka tidak boleh keluar darinya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka berada di dalam neraka yang ditutup rapat.”
Al-Balad 90:20
Ayat 9
فِى عَمَدٍ مُّمَدَّدَةٍۭ
(Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.
Mereka diseksa di dalam neraka dengan diikat pada tiang-tiang yang panjang.
Al ‘Aufi berkata daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, “Mereka diletakkan ke dalam tiang-tiang yang panjang di atas mereka dengan pangkal-pangkalnya, sedangkan leher mereka diikat dengan rantai besi, lalu pintu-pintu ditutup.”
Semoga Allah Swt melindungi kita semua daripada seksaan tersebut. Allahumma aamin!