
Surah Al-‘Asr
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 103 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 3 |
| Maksud Surah: | Masa |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-‘Asr bererti waktu/masa kerana diambil daripada perkataan (ٱلْعَصْرِ) pada ayat pertama surah ini.
Surah ini menggariskan formula kejayaan hidup manusia agar tidak berada dalam kerugian melalui masa yang amat berharga.
Isi Kandungan Utama
Demi Masa: Allah Swt bersumpah dengan masa untuk menunjukkan betapa besarnya kepentingan dan nilai masa dalam kehidupan manusia.
Manusia dalam Kerugian: Sesungguhnya setiap manusia berada dalam kerugian sekiranya mereka tidak memanfaatkannya dengan betul.
4 Prinsip Kejayaan: Manusia terlepas daripada kerugian jika mereka mempunyai 4 sifat:
▪️ Beriman kepada Allah Swt.
▪️ Beramal soleh (melakukan kebaikan).
▪️ Saling berpesan-pesan dengan kebenaran.
▪️ Saling berpesan-pesan dengan kesabaran.
Ayat 1
وَٱلْعَصْرِ
Demi masa.
Allah Swt bersumpah dengan masa. Makna Al-‘Asr adalah zaman, waktu atau masa yang memuat segala gerak-geri perbuatan manusia sama ada yang baik mahupun yang buruk.
Dalam waktu itu terdapat pelbagai pelajaran, pergantian siang dan malam, gelap dan terang silih berganti, perubahan kejadian dan kemaslahatan. Semuanya itu menunjukkan kesempurnaan kekuasaan dan keesaan Allah Yang Maha Pencipta.
Ayat 2
إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ
Sesungguhnya, manusia itu benar-benar berada dalam kerugian.
Inilah jawapan kepada sumpah tersebut. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam keadaan yang merugikan diri mereka sendiri.
Ayat 3
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.
Namun dalam ayat ini, Allah Swt mengecualikan sebahagian manusia daripada kerugian. Mereka ini terdiri daripada orang-orang yang beriman dengan sepenuh hati dan beramal soleh dengan seluruh anggota tubuh mereka.
Selain itu, pengecualian ini termasuklah kepada orang-orang yang saling menasihati atau berpesan-pesan tentang kebenaran iaitu menasihati supaya melaksanakan ketaatan dan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan. Sesungguhnya inilah manusia yang berada dalam keuntungan.
Begitu juga orang-orang yang saling menasihati tentang kesabaran terhadap musibah dan takdir, serta bersabar dengan gangguan daripada orang-orang yang suka menyakiti dan menzalimi. Mereka juga termasuk orang-orang yang mendapat keuntungan. Gangguan daripada orang-orang yang menyakiti ini biasanya datang dari kalangan yang dinasihati dan diajak untuk berbuat kebaikan dan dilarang melakukan kemungkaran.
Imam Asy-Syafi’i berkata, “Seandainya manusia merenungkan surah Al-‘Asr ini, maka surah ini akan mencukupi bagi mereka.”