Surah At-Takathur

Surah At-Takathur

Surah At-Takathur


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:102
Juzuk:30
Jumlah Ayat:8
Maksud Surah:Bermegah-megah

Intisari Surah

Surah ini dinamakan At-Takathur “Bermegah-megah” diambil daripada perkataan ٱلتَّكَاثُرُ yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini menegur sikap manusia yang lalai dan sibuk bermegah-megah dengan harta dan kedudukan dunia sehingga melupakan kematian dan Hari Akhirat.

Isi Kandungan Utama

Kelalaian Manusia: Manusia sentiasa berlumba-lumba mencari dan mengumpul kekayaan, anak-anak dan pangkat sehingga lalai daripada taat kepada Allah Swt.

Kesedaran Maut: Kelalaian itu hanya sedar apabila ajal datang secara mengejut dan mereka dimasukkan ke dalam kubur.

Peringatan Hari Pembalasan: Manusia bakal melihat Neraka Jahim dengan mata kepala sendiri dan pasti akan disoal di akhirat kelak tentang segala nikmat yang dikurniakan semasa hidup.


Ayat 1

أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ

Bermegah-megahan telah melalaikan kamu.

Ayat 2

حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ

Sehingga kamu masuk ke dalam kubur.

Dalam ayat 1-2 ini, Allah Swt menyatakan bahawa manusia saling bermegah-megahan dan berbangga-bangga dalam soal banyaknya anak, harta, pengikut, kemuliaan dan sebagainya. Hal ini telah melalaikan mereka daripada mentaati-Nya sehinggalah maut menjemput mereka lalu dimasukkan ke dalam kubur.

Daripada ‘Abdullah bin Asy-Syikhkhir bahawa dia pergi bertemu Rasulullah saw yang sedang membaca, ‘Bermegah-megahan telah melalaikan kamu,’ dan baginda bersabda:

“Anak keturunan Adam berkata, ‘Oh hartaku, oh hartaku.’ Padahal harta kamu (yang sebenarnya) hanyalah apa yang kamu makan lalu kamu menghabiskannya, atau apa yang kamu pakai lalu kamu menjadikannya usang, atau apa yang kamu sedekahkan, maka kamu menetapkan (pahalanya).”

(HR. Ahmad, Muslim, At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda:

“Ada tiga yang mengiringi mayat, dua akan kembali dan satu yang ikut bersama-samanya. Dia diiringi oleh keluarganya, hartanya dan amalnya. Keluarga dan hartanya akan kembali, sedangkan amalnya tetap bersama dengannya.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

Daripada Anas, Rasulullah saw bersabda:

“Anak keturunan Adam akan menjadi tua (dan lemah), dan yang tetap muda (tidak ikut tua) hanya dua: 1) keinginan (terhadap harta) dan 2) harapan (agar berumur panjang).”

(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Ayat 3

كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ

Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu).

Sesungguhnya sekiranya mereka benar-benar mengetahui akibat terhadap apa yang mereka lakukan itu, pastilah mereka tidak akan sibuk untuk memperbanyakkan harta dan berbangga-bangga dengannya. Mereka pasti akan bersegera melakukan amal soleh untuk mempersiapkan diri menghadapi Hari Akhirat.

Ayat 4

ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ

Kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui.

Ayat ini merupakan pengulangan bagi menegaskan larangan dan celaan terhadap seseorang yang tenggelam dalam dunia dan tertipu dengan kehidupan yang sementara ini.

Ayat 5

كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ ٱلْيَقِينِ

Sekali-kali tidak! Sekiranya kamu mengetahui dengan yakin.

Pengulangan lafaz كَلَّا yang berfungsi untuk melarang, ancaman dan peringatan daripada Allah Swt agar mereka mengetahui akibat daripada bermegah-megah dengan harta dan sebagainya sehingga lalai daripada mencari bekal untuk akhirat. Kelak mereka akan mengetahui akibat buruk daripada perbuatan tersebut ketika saatnya menjelang kematian, kemudian mereka telah berada di dalam kubur.

Ayat 6

لَتَرَوُنَّ ٱلْجَحِيمَ

Nescaya kamu benar-benar akan melihat Neraka Jahim.

Kemudian Allah Swt menjelaskan ancaman-Nya iaitu mereka bakal melihat Neraka Jahim. Sesungguhnya sekiranya mereka mengetahui dengan pengetahuan yang yakin tentang akibat perbuatan mereka itu, nescaya mereka tidak akan lalai daripada taat kepada Allah Swt.

Ayat 7

ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ ٱلْيَقِينِ

Kemudian kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin.’

Seterusnya, Allah Swt memperkuatkan hal tersebut dengan ayat ini. Sesungguhnya sudah pastilah mereka benar-benar akan melihat neraka kelak. Ini adalah ayat pengukuhan terhadap maksud ayat sebelumnya.

Kelak mereka akan dapat melihat sendiri bagaimana dahsyatnya nyalaan api neraka. Bahkan apabila mereka melihat kengerian ketika neraka menghembuskan nafasnya yang panjang, disaksikan pula oleh malaikat yang dekat dengan Allah Swt serta setiap rasul yang telah diutus, mereka jatuh tersungkur atas kedua-dua lutut mereka.

Ayat 8

ثُمَّ لَتُسْـَٔلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ

Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu bermegah-megah di dunia itu).

Allah Swt menyatakan mereka akan ditanya sama ada mereka bersyukur ataupun tidak dengan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh-Nya kepada mereka. Ini adalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada hamba-hamba-Nya.

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:

“Ada dua kenikmatan yang ramai orang tertipu olehnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang.”

(HR. Al-Bukhari, At-Tirmizi dan Ibnu Majah).