
Surah Al-Qari’ah
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 101 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 11 |
| Maksud Surah: | Hari Kiamat |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Qari’ah, diambil daripada perkataan ٱلْقَارِعَةُ yang terdapat pada ayat pertama surah ini, dan merupakan salah satu nama daripada nama-nama Hari Kiamat.
Surah ini menggambarkan huru-hara pada kejadian Hari Kiamat dan penimbangan amalan manusia.
Isi Kandungan Utama
Suasana Hari Kiamat: Menggambarkan kedahsyatan huru-hara Hari Kiamat di mana manusia bertebaran seperti kelkatu dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang berterbangan.
Timbangan Amalan: Manusia akan dihakimi berdasarkan berat timbangan amal perbuatan mereka.
Golongan Manusia:
▪️ Sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, mereka alan mendapat kehidupan yang senang-lenang di dalam syurga.
▪️ Sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya, tempat kembali mereka ialah Neraka Hawiyah yang panas membara.
Ayat 1
ٱلْقَارِعَةُ
Hari Kiamat.
Kalimah ٱلْقَارِعَةُ bermaksud yang mengetuk dengan keras. Ia adalah termasuk salah satu daripada nama-nama lain bagi Hari Kiamat seperti Al-Haqqah, At-Tammah, As-Sakhkhah, Al-Ghasyiyah dan lain-lain.
Ayat 2
مَا ٱلْقَارِعَةُ
Apakah Hari Kiamat itu?
Ayat 3
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا ٱلْقَارِعَةُ
Tahukah kamu apakah Hari Kiamat itu?
Pertanyaan Allah Swt yang berulang ini adalah untuk menggambarkan kedahsyatan dan kengerian Hari Kiamat.
Ayat 4
يَوْمَ يَكُونُ ٱلنَّاسُ كَٱلْفَرَاشِ ٱلْمَبْثُوثِ
Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran.
Kemudian Allah Swt menjelaskan tentang Hari Kiamat dan keadaan yang berlaku pada masa itu iaitu:
▪️ Keadaan manusia.
Manusia yang merupakan makhluk paling mulia di atas muka bumi ini menjadi sangat tidak berharga seperti anai-anai dan belalang yang dihambur-hamburkan.
Pada hari itu mereka bertebaran dan terpisah-pisah. Mereka ke sana kemari kerana kebingungan terhadap kejadian pada hari itu seolah-olah mereka adalah kelkatu yang berterbangan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….seakan-akan belalang yang berterbangan.”
Al-Qamar 54:7
Ayat 5
وَتَكُونُ ٱلْجِبَالُ كَٱلْعِهْنِ ٱلْمَنفُوشِ
Dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.
▪️ Keadaan gunung.
Gunung-gunung yang dahulunya sangat kukuh, tinggi dan besar kini menjadi seperti bulu yang berterbangan ditiup angin, melayang-layang kemudian menghilang.
Dua tanda kiamat yang telah disebutkan dalam ayat-ayat di atas merupakan peringatan dan ancaman keras kepada manusia.
Ayat 6
فَأَمَّا مَن ثَقُلَتْ مَوَٰزِينُهُۥ
Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikan)nya.
Ayat 7
فَهُوَ فِى عِيشَةٍ رَّاضِيَةٍ
Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan (senang).
Kemudian Allah Swt menyebutkan tentang ganjaran pahala dan balasan terhadap amalan manusia. Kemuliaan dan kehinaan yang mereka peroleh adalah sesuai dengan amalan masing-masing iaitu:
▪️ Sekiranya amal kebaikan lebih berat daripada amal keburukannya, maka dia akan berada di dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan amat memuaskannya.
Ayat 8
وَأَمَّا مَنْ خَفَّتْ مَوَٰزِينُهُۥ
Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya.
Ayat 9
فَأُمُّهُۥ هَاوِيَةٌ
Maka tempat kembalinya adalah Neraka Hawiyah.
▪️ Sedangkan bagi orang-orang yang amal keburukan lebih berat daripada amal kebaikan atau tidak memiliki kebaikan sama sekali, maka tempat kembali mereka adalah neraka yang sangat panas.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….Dan tempat kembali mereka adalah neraka……….”
Ali ‘Imran 3:151
Ayat 10
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا هِيَهْ
Tahukah kamu apakah Neraka Hawiyah itu?
Ayat 11
نَارٌ حَامِيَةٌۢ
(Iaitu) Api yang sangat panas.
Ini adalah peringatan daripada Allah Swt tentang bahayanya neraka dan tidak ada yang lebih bahaya daripada neraka yang menjadi tempat kesengsaraan dan kerugian. Semoga Allah melindungi kita semua daripada azab neraka. Allahumma aamin.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Api anak keturunan Adam yang biasa kalian nyalakan merupakan satu bahagian dari tujuh puluh bahagian api Neraka Jahannam. Para sahabat berkata, ‘Wahai Rasulullah, walaupun hanya satu bahagian, akan tetapi sudah mencukupi keperluan.’ Rasulullah saw bersabda, ‘Sesungguhnya satu bahagian dari api itu ditambah lagi dengan enam puluh sembilan bahagian.’”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan azabnya ialah seseorang yang mengenakan sepasang terompah (yang terbuat daripada api), sehingga otaknya mendidih kerananya.”
(HR. Ahmad)