
Surah Al-‘Adiyat
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 100 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 11 |
| Maksud Surah: | Kuda Perang yang Berlari Kencang |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-‘Adiyat diambil daripada perkataan العَـٰدِيَـٰت yang bererti berlari kencang yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Tema surah ini adalah sumpah Allah Swt mengenai semangat juang dan kelemahan sifat manusia yang kufur nikmat dan terlalu cintakan harta.
Isi Kandungan Utama
Sumpah Allah Swt: Allah Swt bersumpah atas nama kuda perang yang berlari kencang, bernafas dengan kuat, memercikkan api melalui hentakan kaki, menyerang musuh pada waktu subuh dan meredah debu di tengah medan perang secara berani. Ini melambangkan kekuatan dan keberanian.
Sifat Manusia: Manusia lazimnya sangar ingkar dan tidak bersyukur kepada Tuhannya. Manusia sedia maklum akan sifat bakhil dan amat mencintai harta kekayaan secara berlebihan.
Peringatan Hari Kiamat: Manusia diingatkan tentang kebangkitan selepas mati. Apabila apa yang di dalam kubur dibongkar dan rahsia hati manusia didedahkan, pada hari itu Allah Maha Mengetahui segala amal perbuatan mereka.
Ayat 1
وَٱلْعَـٰدِيَـٰتِ ضَبْحًا
Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah.
Ayat 2
فَٱلْمُورِيَـٰتِ قَدْحًا
Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan kuku kakinya).
Ayat 3
فَٱلْمُغِيرَٰتِ صُبْحًا
Dan kuda yang menyerang (dengan tiba-tiba) pada waktu pagi.
Ayat 4
فَأَثَرْنَ بِهِۦ نَقْعًا
Sehingga menerbangkan debu.
Ayat 5
فَوَسَطْنَ بِهِۦ جَمْعًا
Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.
Allah Swt bersumpah dengan menyebut kuda yang digunakan pada jalan-Nya. Kuda adalah antara kurniaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang memiliki keistimewaan khusus dibandingkan haiwan-haiwan yang lain.
Kuda tersebut dikatakan berlari kencang dengan mengeluarkan dengusan nafas yang kuat dan memercikkan api kerana hentakan kakinya yang terkena batu pada saat ia berlari kencang.
Kuda tersebut kemudian menyerang musuhnya pada waktu subuh sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw jika baginda tidak mendengar azan dilaungkan. Namun sekiranya baginda mendengar azan maka serangan dibatalkan.
Lalu kuda tersebut menerbangkan debu-debu dan kemudian menyerang musuhnya hingga menyerbu masuk ke tengah-tengah medan perang. Inilah yang digunakan oleh Allah Swt untuk bersumpah pada permulaan surah ini.
Ayat 6
إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ
Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Rabbnya.
Inilah isi sumpah Allah Swt iaitu manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Rabbnya. Menurut Ibnu ‘Abbas ra dan lain-lain makna ‘al-kanud’ adalah ‘al-kafur’ iaitu sering mengingkari nikmat Allah.
Al-Hasan mengatakan, manusia itu banyak menghitung-hitung musibah tetapi melupakan betapa banyak nikmat yang telah diberikan oleh Allah Swt kepadanya.
Ayat 7
وَإِنَّهُۥ عَلَىٰ ذَٰلِكَ لَشَهِيدٌ
Dan sesungguhnya dia (manusia) menyaksikan (sendiri) keingkarannya.
Ada dua tafsiran berkaitan dengan ayat ini:
▪️ Qatadah dan Sufyan Ath-Thauri mengatakan maksudnya ialah Allah Swt menyaksikan keingkaran manusia dan Dia akan menjadi saksi terhadap apa yang mereka lakukan dan akan membalas kekufuran mereka.
▪️ Muhammad bin Ka’ab Al-Qurazhi mengatakan, manusia akan menjadi saksi dan mengakui kekufuran mereka sendiri dengan ucapan dan perbuatan mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tidak layak orang-orang musyrik memakmurkan masjid Allah, padahal mereka mengakui bahawa mereka sendiri adalah kafir……….”
At-Taubah 9:17
Ayat 8
وَإِنَّهُۥ لِحُبِّ ٱلْخَيْرِ لَشَدِيدٌ
Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta.
Maksud الْخَيْرِ atau kebaikan dalam ayat ini adalah harta. Sesungguhnya manusia pastilah bakhil kerana kecintaannya yang kuat terhadap harta. Ini dapat dilihat apabila mereka bersungguh-sungguh dan bermati-matian dalam mencari harta tersebut. Berdasarkan hal ini, ada dua pendapat yang berkaitan dengan ayat ini:
▪️ Manusia sangat cintakan harta.
▪️ Manusia sangat bakhil kerana kecintaannya kepada harta.
Ayat 9
أَفَلَا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِى ٱلْقُبُورِ
Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan yang ada di dalam kubur.
Kemudian Allah Swt mendorong manusia agar zuhud terhadap dunia dan mengutamakan kehidupan akhirat. Dia mengingatkan pula apa yang akan terjadi setelah alam dunia berakhir dengan pertanyaan tidakkah mereka tahu bagaimana keadaan mayat ketika mereka dikeluarkan dari kubur kelak.
Ayat 10
وَحُصِّلَ مَا فِى ٱلصُّدُورِ
Dan dizahirkan apa yang ada di dalam dada.
Segala sesuatu yang mereka sembunyikan dalam hati mereka nanti akan diperlihatkan.
Ayat 11
إِنَّ رَبَّهُم بِهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّخَبِيرٌۢ
Sesungguhnya, Rabb mereka pada hari itu Maha Teliti terhadap keadaan mereka.
Sesungguhnya Allah Swt mengetahui segala yang mereka perbuat dan akan membalasnya. Dia sama sekali tidak berlaku zalim kepada manusia.