Surah Al-Zalzalah

Surah Al-Zalzalah

Surah Al-Zalzalah


Klasifikasi Surah:Madaniyyah
Surah:99
Juzuk:30
Jumlah Ayat:8
Maksud Surah:Kegoncangan

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Az-Zalzalah kerana diambil daripada perkataan Zilzaal (زِلْزَالَ) yang bererti “Kegoncangan” yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini menceritakan tentang kejadian dahsyat Hari Kiamat, kebangkitan manusia dan balasan terhadap setiap amalan manusia.

Isi Kandungan Utama

Kegoncangan Bumi: Bumi digoncangkan dengan goncangan yang sangat kuat sehingga mengeluarkan beban-beban berat (isi perutnya atau mayat) manakala manusia dalam keadaan bingung bertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Bumi Menjadi Saksi: Pada hari itu, bumi bercerita dan menyampaikan berita tentang segala amalan manusia yang dilakukan di atas permukaannya atas perintah Allah Swt.

Kebangkitan dan Balasan: Manusia keluar dari kubur dalam keadaan berpecah-belah (berkelompok) untuk diperlihatkan balasan amal mereka. Sesiapa yang melakukan kebaikan sebesar zarah nescaya dia akan melihat balasannya, begitu juga sebaliknya.


Ayat 1

إِذَا زُلْزِلَتِ ٱلْأَرْضُ زِلْزَالَهَا

Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat.

Ketika berlaku Hari Kiamat, bumi mengalami gempa yang amat dahsyat dan kuat goncangannya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabbmu, sesungguhnya kegoncangan Hari Kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).”

Al-Hajj 22:1

Ayat 2

وَأَخْرَجَتِ ٱلْأَرْضُ أَثْقَالَهَا

Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya.

Bumi yang bergoncang hebat itu mengeluarkan dan melemparkan semua perbendaharaan yang dikandungnya ke permukaannya termasuk mayat-mayat di dalam kubur.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan apabila bumi diratakan dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong.”

Al-Insyiqaq 84:3-4

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Bumi menghamburkan segala isi perutnya seperti tiang-tiang yang dibuat daripada emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh dan berkata, ‘Dalam hal ini (emas dan perak) aku membunuh.’ Dan datanglah seorang pemutus silaturrahim dan berkata, ‘Dalam hal ini (emas dan perak) aku memutuskan ikatan silaturrahimku.’ Dan datanglah seorang pencuri dan berkata, ‘Dalam hal ini (emas dan perak) tanganku dipotong.’ Kemudian mereka membiarkan emas dan perak itu, tidak mengambil sedikit pun daripadanya.”

(HR. Muslim)

Ayat 3

وَقَالَ ٱلْإِنسَـٰنُ مَا لَهَا

Dan manusia bertanya, “Apa yang terjadi pada bumi ini?”

Pada hari itu, orang-orang yang ingkar terhadap adanya Hari Kebangkitan akan mengatakan demikian dengan nada ingkar kepada peristiwa dahsyat yang sedang mereka alami ketika itu. Mereka seolah-olah tidak percaya perkara itu boleh terjadi. Ini adalah kerana sebelum ini bumi dalam keadaan tenang dan tetap kukuh di tempatnya.

Ayat 4

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا

Pada hari itu bumi menyampaikan beritanya.

Ayat 5

بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا

Kerana sesungguhnya Rabbmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

Pada hari itu, bumi menceritakan segala amal perbuatan yang telah dilakukan oleh semua manusia di atas permukaannya, sama ada amal baik ataupun amal buruk. Allah Swt menjadikannya dapat berbicara agar ia menjadi saksi terhadap hamba-hamba-Nya.

Daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw membaca ayat, “Pada hari itu bumi menceritakan beritanya,” (Az-Zalzalah: 4), lalu Rasulullah saw bersabda:

“Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan beritanya?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya beritanya adalah bahawa bumi bersaksi tentang apa yang dilakukan oleh setiap manusia di muka bumi dengan mengatakan bahawa orang ini telah berbuat begini dan begitu, pada hari ini begini dan begitu. Demikianlah berita yang disampaikan oleh bumi.”

(HR. Imam Ahmad)

Imam At-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini sahih gharib.

Ayat 6

يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ ٱلنَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا۟ أَعْمَـٰلَهُمْ

Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) segala perbuatan mereka.

Pada hari itu juga, manusia bergerak meninggalkan kubur dan menuju ke tempat penghisaban dalam keadaan yang terpisah-pisah. Ada yang mengambil jalan ke kanan iaitu menuju ke syurga dan ada yang mengambil jalan ke kiri iaitu menuju ke neraka.

Ayat 7

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ

Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walaupun seberat zarah di dunia ini, nescaya dia akan melihat pahalanya pada kemudian hari.

Daripada ‘Adi, Rasulullah saw bersabda:

“Jagalah diri kalian daripada api neraka walaupun dengan (menyedekahkan separuh kurma), dan walaupun dengan ucapan yang baik.”

(HR. Al-Bukhari)

Rasulullah saw bersabda:

“Janganlah engkau meremehkan perbuatan baik, walaupun sedikit, dan walaupun hanya dengan menuangkan timbamu ke dalam bekas orang yang memerlukan air, dan walaupun dengan wajah berseri-seri ketika bertemu dengan saudaramu.”

(HR. Muslim)

“Wahai para wanita beriman! Janganlah sekali-kali seorang jiran meremehkan sesuatu untuk diberikan kepada jirannya walaupun sesuatu itu kaki kambing biri-biri.”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 8

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُۥ

Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya.

Sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun seberat zarah di dunia ini, nescaya dia akan melihat balasannya pada kemudian hari.

‘Aisyah ra memberitahu ‘Auf bin Al-Harith bahawa Rasulullah saw bersabda kepadanya:

“Wahai ‘Aisyah, jauhilah dosa-dosa yang dianggap remeh, kerana dosa-dosa itu memiliki tuntutan daripada Allah.”

(HR. Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Daripada Abdullah bin Mas’ud ra, Rasulullah saw bersabda:

“Jauhilah dosa-dosa yang dianggap remeh kerana dosa-dosa tersebut (jika) terkumpul pada seseorang, maka ia dapat membinasakannya.”

(HR. Ahmad)