Surah Al-Qadr

Surah Al-Qadr

Surah Al-Qadr


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:97
Juzuk:30
Jumlah Ayat:5
Maksud Surah:Kemuliaan

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Qadr “Kemuliaan”, yang diambil daripada perkataan الْقَدْرِ yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini menceritakan kebesaran dan kemulian Lailatul Qadar.

Isi Kandungan Utama

Penurunan Al-Quran: Allah Swt menyatakan bahawa permulaan turunnya Al-Quran adalah pada Lailatul Qadar, iaitu sebuah malam yang nilainya sangat agung dan mulia.

Kemuliaan Lailatul Qadar: Ibadah dan amalan yang dilakukan pada malam tersebut adalah lebih baik daripada beribadah selama 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Turunnya Para Malaikat: Pada malam tersebut, para malaikat dan Jibril as turun ke bumi dengan izin Allah Swt untuk membawa segala urusan dan melimpahkan keberkatan dan kesejahteraan hingga terbit fajar.


Ayat 1

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia mengagungkan malam Al-Qadar yang Dia khususkan dengan penurunan Al-Quran, iaitu satu malam pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang diberkati……….”

Ad-Dukhan 44:3

“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran……….”

Al-Baqarah 2:185

Ibnu ‘Abbas ra dan lain-lain mengatakan bahawa Allah Swt menurunkan Al-Quran itu sekali gus dari Lauh Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Kemudian diturunkan kepada Rasulullah saw secara beransur-ansur, terperinci dan terpisah sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika itu selama 23 tahun.

Ayat 2

وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ

Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

Pertanyaan ini adalah bertujuan mengagungkan dan menjelaskan betapa mulianya malam tersebut.

Ayat 3

لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa malam itu dinamakan dengan Lailatul Qadar adalah kerana keagungan dan kemuliaan malam tersebut.

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, bahawa ketika tiba bulan Ramadhan, Rasulullah saw bersabda:

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan iaitu satu bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan Allah mewajibkan atas kalian berpuasa padanya. Suatu bulan semua pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan Ramadhan terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan pada malam itu, maka sungguh dia tidak akan mendapatkannya.”

(HR. Ahmad dan An-Nasa’i)

Beribadah pada malam Al-Qadar juga menyamai ibadah melebihi seribu bulan.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang bangun untuk mendirikan solat pada malam Al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 4

تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Rabb mereka untuk mengatur semua urusan.

Ayat 5

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ

Sejahteralah (malam itu) sehingga terbit fajar.

Pada malam yang penuh dengan kemuliaan itu, para malaikat turun bersama-sama malaikat Jibril as dengan perintah Allah Swt. Tujuannya ialah untuk mengatur segala urusan yang telah menjadi ketetapan-Nya bagi tahun itu hingga tahun berikutnya iaitu tentang ajal, rezeki dan sebagainya kepada makhluk-Nya.

Mujahid mengatakan bahawa malam itu begitu sejahtera untuk mengatur semua urusan dan pada waktu itu syaitan tidak dapat melakukan kejahatan atau melancarkan gangguan. Qatadah dan lain-lain mengatakan bahawa pada waktu itu semua urusan diputuskan. Ajal dan rezeki juga ditetapkan pada malam itu.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.”

Ad-Dukhan 44:4

Ulama mentafsirkan bahawa malam Al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan berdasarkan beberapa hadis.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas ra bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Carilah malam Al-Qadar itu pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan………..”

(HR. Al-Bukhari)

Kita dianjurkan untuk memperbanyak doa terutama pada 10 malam terakhir ini, teristimewa pada malam-malam ganjil.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa ‘Aisyah ra pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, jika aku mendapatkan malam Al-Qadar, apakah yang harus aku ucapkan?” Rasulullah saw menjawab:

«قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي»

Ucapkanlah olehmu, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku.”

(HR. Ahmad)