
Surah Al-‘Alaq
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 96 |
| Juzuk: | 30 |
| Jumlah Ayat: | 19 |
| Maksud Surah: | Segumpal Darah |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-‘Alaq “Segumpal darah” diambil daripada perkataan عَلَقٍ yang terdapat pada ayat 2 surah ini.
Lima ayat terawal surah ini merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw di Gua Hira’ melalui Malaikat Jibril as.
Isi Kandungan Utama
Perintah Membaca dan Menuntut Ilmu: Wahyu pertama mengandungi perintah membaca (iqra’) dengan nama Tuhan yang menciptakan manusia daripada segumpal darah. Allah Swt telah mengajar manusia malalui pena dan ilmu pengetahuan yang tidak mereka ketahui.
Sikap Manusia yang Melampaui Batas: Menjelaskan tabiat buruk manusia yang bersikap sombong dan melampaui batas kerana merasa dirinya serba cukup dengan martabat dan harta yang dimilikinya, padahal tempat kembali semua makhluk adalah kepada Allah.
Larangan Beribadah dan Ancaman terhadap Penentang: Menceritakan tindakan Abu Jahal yang melarang Nabi Muhammad saw solat di Kaabah. Allah Swt mengancam orang yang mendustakan kebenaran dan melarang hamba-Nya beribadah; jika mereka tidak berhenti, Allah akan menarik ubun-ubunnya ke dalam neraka. Surah ini ditutup dengan perintah agar tidak taat kepada orang yang melarang beribadah, sebaliknya sujud dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Ayat 1
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ
Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu yang menciptakan.
Surah ini dimulakan dengan arahan Allah Swt kepada Rasulullah saw agar baginda, membaca dengan menyebut nama-Nya yang telah menciptakan segala sesuatu, meskipun baginda tidak boleh membaca dan menulis. Dia juga menyifatkan diri-Nya sebagai Zat Yang Maha Mencipta.
Ketika Rasulullah saw berada di Gua Hira’, baginda dikejutkan oleh Jibril as seraya berkata, “Bacalah!” Baginda menjawab, “Aku tidak boleh membaca!” Maka Jibril as pun mendekati dan mendakapnya sehingga baginda terasa sesak. Jibril as mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian Jibril as berkata, “ٱقْرَأْ بِٱسْم رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ” sehingga ayat, “عَلَّمَ ٱلْإِنسَٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ”. Maka baginda pun mengikut bacaan Jibril as.
Ayat 2
خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ
Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.
Allah Swt telah menciptakan Nabi Adam as daripada tanah dan anak keturunannya diciptakan daripada percampuran air mani lelaki dan air mani perempuan. Setelah mencapai 40 hari ia menjadi segumpal darah.
Ayat 3
ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ
Bacalah, dan Rabbmu-lah Yang Maha Mulia.
Ayat 4
ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ
Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan pena.
Kemudian Allah Swt menyuruh Rasulullah saw membaca kerana Dia Maha Mulia yang tiada tandingannya yang mengajarkan manusia pandai menulis dengan menggunakan pena.
Ayat 5
عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.
Kemudian Allah Swt menjelaskan keutamaan-Nya yang meliputi seluruh makhluk serta kenikmatan-Nya yang meluas. Dia mengajarkan manusia banyak hal yang tidak diketahui melalui pena iaitu alat tulis.
Kelebihan manusia yang pandai menulis adalah dia dapat mencatat ilmu yang dikurniakan oleh Allah Swt dan memungkinkan menyebar ilmu pengetahuan kepada orang lain. Cara ini juga dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kebodohan menuju cahaya ilmu.
Ayat 6
كَلَّآ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَيَطْغَىٰٓ
Sekali-kali tidak! Sesungguhnya, manusia itu benar-benar melampaui batas.
Ayat 7
أَن رَّءَاهُ ٱسْتَغْنَىٰٓ
Kerana dia melihat dirinya serba cukup.
Kemudian Allah Swt membantah manusia atas perilaku yang melampaui batas-batas-Nya ketika mereka berada dalam kesenangan.
Ketika melihat diri mereka serba kecukupan kerana telah memiliki harta, keluarga dan kedudukan, mereka melampaui batas sehingga berlaku sombong kepada Allah Swt dan zalim serta meremehkan orang lain.
Ayat 8
إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجْعَىٰٓ
Sesungguhnya, hanya kepada Rabbmu-lah tempat kamu kembali.
Sedangkan tempat kembali mereka hanyalah kepada Allah Swt dan hanya Dia-lah sahaja yang akan membalas segala perbuatan mereka.
Ayat 9
أَرَءَيْتَ ٱلَّذِى يَنْهَىٰ
Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang,
Ayat 10
عَبْدًا إِذَا صَلَّىٰٓ
Seorang hamba ketika dia melaksanakan solat.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa setelah Abu Jahal mendengar daripada kawan-kawannya bahawa Rasulullah saw telah pernah mendirikan solat di Maqam Ibrahim, dia menjadi marah sehingga mengeluarkan kata-kata bahawa dia akan memijak-mijak baginda seandainya baginda melakukannya lagi. Berita ini telah sampai kepada baginda dan baginda mengatakan bahawa jika Abu Jahal benar-benar melakukannya maka malaikat akan menghancurkannya.
Ayat 11
أَرَءَيْتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلْهُدَىٰٓ
Bagaimana pendapatmu jika dia (yang dilarang solat itu) berada di atas kebenaran.
Ayat 12
أَوْ أَمَرَ بِٱلتَّقْوَىٰٓ
Atau dia menyuruh orang untuk bertakwa (kepada Allah)?
Ayat-ayat ini merupakan ajakan untuk berfikir tentang siapakah di antara mereka yang berada di atas kebenaran? Adakah orang yang menghalang orang yang mengerjakan solat iaitu Abu Jahal atau orang yang menghambakan dirinya kepada Allah Swt iaitu Rasulullah saw?
Ayat 13
أَرَءَيْتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ
Bagaimana pendapatmu jika dia (orang yang melarang) itu mendustakan dan berpaling?
Ayat 14
أَلَمْ يَعْلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ
Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala perbuatannya)?
Bagaimana pula sekiranya orang yang melarang itu mendustakan Nabi Muhammad saw serta wahyu Allah Swt dan berpaling daripada keimanan dan daripada berbuat kebajikan. Tidakkah dia yang berbuat sedemikian jahat itu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Swt melihat dan akan membalas perbuatan jahatnya.
Sebenarnya Abu Jahal mengetahui bahawa Allah Swt melihat segala perbuatannya yang sangat keji dan mungkar itu. Namun hawa nafsu, kesombongan, sifat melampaui batas dan merasakan dirinya telah cukup dengan kekayaan dan kedudukan itulah yang menjadi penghalang kepadanya untuk mengakui kebenaran.
Ayat 15
كَلَّا لَئِن لَّمْ يَنتَهِ لَنَسْفَعًۢا بِٱلنَّاصِيَةِ
Sekali-kali tidak! Sesungguhnya jika dia tidak berhenti (berbuat demikian), nescaya Kami tarik ubun-ubunnya (ke dalam neraka).
Ayat 16
نَاصِيَةٍ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍ
Iaitu ubun-ubun orang yang mendustakan dan derhaka.
Ayat-ayat ini merupakan ancaman berat daripada Allah Swt. Sekiranya orang yang melarang Nabi Muhammad saw tidak berhenti menghalang kebaikan dan beribadah kepada-Nya nescaya Dia akan menarik ubun-ubunnya dan memasukkannya ke dalam Neraka Jahannam.
Ayat 17
فَلْيَدْعُ نَادِيَهُۥ
Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya).
Apabila azab Allah Swt datang kepadanya maka biarlah dia memanggil golongannya yang dia banggakan itu untuk menyelamatkannya daripada azab itu.
Ayat ini bermaksud bahawa Abu Jahal mempunyai penyokong yang ramai yang berada di belakangnya dalam menentang Allah Swt dan rasul-Nya.
Ayat 18
سَنَدْعُ ٱلزَّبَانِيَةَ
Kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniah (penyeksa orang-orang yang berdosa).
Kelak mereka akan diserahkan kepada malaikat Zabaniah iaitu malaikat penjaga neraka yang akan mengheret mereka ke dalam Neraka Jahannam.
Diriwayatkan daripada Imam Ahmad, At-Tirmizi dan An Nasa’i, daripada Ibnu ‘Abbas ra yang mengatakan bahawa Rasulullah saw sedang solat di Maqam Ibrahim, Abu Jahal lalu dekat dengan baginda. Dia berkata, “Wahai Muhammad! Bukankah aku telah melarangmu dari hal ini?” Dia pun mengancam baginda, lalu baginda pun mengancam pula Abu Jahal dengan berbicara keras.
Abu Jahal berkata, “Wahai Muhammad! Dengan apa kamu mengancamku? Ingatlah! Demi Allah, sesungguhnya aku mempunyai golongan pendukung yang ramai di lembah ini.” Lalu Allah Swt menurunkan ayat, “Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya). Kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniah (penyeksa orang-orang yang berdosa).”
Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Sekiranya dia memanggil golongannya maka malaikat penyeksa akan menyeksanya ketika itu juga.”
Ayat 19
كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَٱسْجُدْ وَٱقْتَرِب
Sekali-kali jangan! Janganlah kamu patuh kepadanya, dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah).
Pada akhir surah ini, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw agar tidak mengikuti apa yang disuruh oleh orang-orang yang menghalang baginda mendirikan solat, sebaliknya baginda hendaklah terus mengerjakannya tanpa mempedulikan ancaman dan larangan mereka.
Ayat ini merupakan ayat hiburan kepada Rasulullah saw. Allah Swt mengingatkan bahawa semakin besar halangan daripada musuh, maka hendaklah semakin mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ketaatan dan memperbanyakkan solat. Allah Swt pasti akan menjaga baginda dan orang-orang mukmin daripada kejahatan musuh-musuh-Nya.