Surah At-Tin

Surah At-Tin

Surah At-Tin


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:95
Juzuk:30
Jumlah Ayat:8
Maksud Surah:Buah Tin

Intisari Surah

Surah ini dinamakan At-Tin kerana diambil daripada perkataan التِّينِ yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini menekankan kemuliaan kejadian manusia serta kepentingan beriman dan beramal soleh.

Isi Kandungan Utama

Sumpah Allah Swt: Allah Swt bersumpah dengan tempat-tempat mulia diutusnya para rasul, iaitu buah tin dan zaitun (isyarat kepada Baitul Maqdis tempat Nabi Isa as diutuskan), Bukit Sinai (tempat Nabi Musa as berbicara dengan Allah) dan Mekah (tempat Nabi Muhammad saw diutuskan).

Penciptaan Manusia: Allah Swt menegaskan bahawa manusia diciptakan dalam bentuk fizikal dan rohani yang sebaik-baiknya serta sempurna.

Darjat Manusia: Walaupun diciptakan mulia, manusia boleh dikembalikan ke darjat yang serendah-rendahnya (azab neraka atau hina kerana dosa), kecuali orang yang beriman dan beramal soleh yang akan mendapat pahala yang berterusan.

Keadilan Allah Swt: Surah ini ditutup dengan pertanyaan tegas tentang mengapa manusia masih mendustakan Hari Pembalasan sedangkan Allah adalah Hakim yang paling adil.


Ayat 1

وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيْتُونِ

Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.

Allah Swt memulakan surah ini dengan bersumpah menggunakan nama buah tin dan buah zaitun yang dikenali dan digunakan oleh manusia. Kedua-dua buah ini boleh dimakan dan mempunyai banyak manfaat.

Ada beberapa pendapat tentang ayat ini, antaranya:

▪️  Ada yang mengatakan bahawa kepentingan kedua-dua buah inilah yang dijadikan sumpah.

▪️  Ada yang mengatakan ayat ini menyebut tempat yang terdapat banyak pokok tin dan zaitun, iaitu Baitul Maqdis, tempat Nabi ‘Isa as diutuskan. Ini adalah pendapat Qatadah, Ibn Zaid dan lain-lain.

Ayat 2

وَطُورِ سِينِينَ

Demi Bukit Sinai.

Ka’abul Ahbar dan lain-lain mengatakan, ini adalah Bukit Sinai tempat Nabi Musa as diajak berbicara oleh Allah Swt.

Ayat 3

وَهَـٰذَا ٱلْبَلَدِ ٱلْأَمِينِ

Dan demi negeri (Mekah) yang aman ini.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah, Al-Hassan dan lain-lain mengatakan maksud negeri yang aman itu ialah Mekah. Sesiapa yang memasuki kota Mekah, terjaminlah keamanannya dan inilah tempat diutuskan Rasulullah saw.

Ayat 4

لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Inilah jawapan kepada sumpah-sumpah di atas. Manusia adalah antara makhluk yang diciptakan oleh Allah Swt dengan sebaik-baik bentuk, baik dari segi zahir mahupun batin.

Manusia dibekalkan dengan akal. Maka dengan keseimbangan antara sebaik-baik tubuh dan pedoman akal itulah mereka dapat hidup di muka bumi ini sebagai khalifah.

Ayat 5

ثُمَّ رَدَدْنَـٰهُ أَسْفَلَ سَـٰفِلِينَ

Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka).

Ada beberapa pendapat tentang ayat ini, antaranya ialah:

▪️  Setelah diciptakan dengan penciptaan yang paling baik lagi paling indah, manusia akan dikembalikan ke tempat yang paling rendah iaitu neraka sekiranya mereka tidak taat kepada Allah Swt dan tidak mengikuti para rasul-Nya.

▪️  Manakala pendapat yang lain ialah walaupun telah dicipta dengan sebaik-baik kejadian namun sekiranya mereka tidak menyembah Allah Swt dan mereka juga merendahkan dirinya di hadapan makhluk-Nya yang lain, maka mereka akan direndahkan serendah-rendahnya. Mereka yang melakukan perkara itu telah menjadi lebih rendah dari binatang.

Ayat 6

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, maka mereka akan mendapat pahala yang tiada putus-putus.

Kemudian dalam ayat ini, Allah Swt memberikan pengecualian terhadap orang-orang yang beriman kepada-Nya, membenarkan rasul-Nya dan Hari Akhirat. Mereka akan mendapat pahala yang berterusan dalam ibadah mereka.

Menurut Ibnu Jarir, beriman dan beramal soleh pada waktu badan masih muda dan sihat maka ganjarannya adalah pahala yang tidak pernah berhenti.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.”

Al-‘Asr 103:1-3

Ayat 7

فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعْدُ بِٱلدِّينِ

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan (setelah adanya keterangan-keterangan) itu?

Seterusnya, Allah Swt bertanyakan tentang apakah yang menyebabkan mereka mendustakan Hari Pembalasan, padahal mereka telah mengetahui asal kejadian mereka dan mengetahui bahawasanya Rabb yang mampu menciptakan mereka pada kali pertama, berkuasa pula untuk mengembalikan mereka hidup semula, bahkan itu lebih mudah bagi-Nya.

Pertanyaan dalam ayat ini merupakan penghinaan terhadap orang-orang kafir kerana mendustakan balasan Hari Kebangkitan.

Ayat 8

أَلَيْسَ ٱللَّهُ بِأَحْكَمِ ٱلْحَـٰكِمِينَ

Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya?

Kemudian Allah Swt menguatkan pertanyaan tersebut dengan mengatakan bahawa Dia adalah hakim yang paling adil, yang tidak melampaui batas dan tidak menzalimi sesiapa pun. Salah satu daripada sifat adil-Nya ialah Dia mengadakan Hari Kiamat, sehingga Dia memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi di dunia dahulu.