Surah Al-Insyirah

Surah Al-Insyirah

Surah Al-Insyirah


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:94
Juzuk:30
Jumlah Ayat:8
Maksud Surah:Kelapangan

Intisari Surah

Surah ini dinamakan dengan Asy-Syarh atau Al-Insyirah atau أَلَمْ نَشْرحْ kerana dimulai dengan berita tentang Allah Swt melapangkan dada Nabi Muhammad saw.

Surah ini bertujuan memberi ketenangan, motivasi dan kelapangan dada kepada Nabi Muhammad saw serta umatnya dalam menghadapi kesusahan.

Isi Kandungan Utama

Nikmat Kelapangan Dada: Allah Swt menyatakan nikmat-Nya yang besar kepada Nabi Muhammad saw dengan melapangkan dada baginda, meringankan beban berat yang hampir mematahkan semangat baginda dan mengangkat nama baginda setingi-tingginya.

Janji Kemudahan bersama Kesulitan: Allah Swt menegaskan bahawa di sebalik setiap kesusahan atau kesempitan pasti ada kemudahan yang menyusul.

Seruan Beramal dan Bertawakkal: Selepas selesai satu urusan atau ibadah, umat Islam diseru supaya terus berusaha bersungguh-sungguh dalam urusan lain dan hanya kepada Allah Swt sahaja tempat memohon dan bergantung sepenuhnya.


Ayat 1

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu (Muhammad)?

Pada ayat ini dan beberapa ayat seterusnya menerangkan tentang nikmat-nikmat yang telah Allah Swt berikan kepada Rasulullah saw iaitu:

▪️  Allah Swt telah melapangkan dada Rasulullah saw. Dia juga menjadikan syariat-Nya mudah dan tidak berat untuk diikuti.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Barangsiapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membuka dadanya untuk (menerima) Islam……….”

Al-An’am 6:125

Ayat 2

وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ

Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,

Ayat 3

ٱلَّذِىٓ أَنقَضَ ظَهْرَكَ

Yang memberatkan belakangmu.

▪️  Dosa-dosa baginda telah diampunkan oleh Allah Swt. Ayat ini ditafsirkan dengan firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Supaya Allah memberi keampunan kepadamu (Muhammad) terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang……….”

Al-Fath 48:2

Ayat 4

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.

▪️  Nama baginda diagungkan oleh Allah Swt.

Ini terbukti apabila nama baginda diiringkan dengan nama Allah dalam penyebutan syahadah, ketika tasyahud, azan dan iqamah. Orang-orang yang beriman pula diperintahkan supaya berselawat dan memberi salam kepada baginda.

Qatadah mengatakan, Allah Swt memuliakan Rasulullah saw dengan menjadikan nama baginda disebut-sebut di dunia dan di akhirat. Maka tidak ada seorang khatib mahupun orang bersyahadah dan orang yang mendirikan solat melainkan mesti menyebut, “Aku bersaksi bahawa tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”

Ayat 5

فَإِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

Ayat 6

إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا

Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa bersama kesukaran terdapat kemudahan dan sesungguhnya bersama kesukaran pasti ada jalan keluar. Ayat ini menegaskan bahawa setiap orang yang mengalami kesukaran pasti akan diikuti dengan kemudahan dan kesenangan.

Ayat ini juga merupakan ayat hiburan kepada Rasulullah saw bahawa Allah Swt akan menggantikan keadaan baginda daripada fakir menjadi kaya, daripada lemah menjadi kuat dan daripada dimusuhi oleh kaumnya menjadi dicintai.

Ini kerana Rasulullah saw dan para sahabat sangat menderita ketika berdakwah dan berjihad menentang kaum musyrikin Mekah. Oleh itu, Allah Swt menjanjikan kesenangan selepas segala kesulitan yang mereka hadapi. Segala pahit dan getir kehidupan mereka itu digantikan dengan kemenangan dan mereka peroleh kesenangan hidup selepas itu.

Ayat 7

فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ

Maka apabila engkau telah selesai (sesuatu urusan), kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) yang lain.

Kemudian Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw dan umatnya agar bersegera dan bersungguh-sungguh menunaikan urusan akhirat dengan mendirikan solat dan berdoa selepas selesai sesuatu urusan keduniaan. Mereka juga diingatkan agar benar-benar memanfaatkan masa yang dikurniakan kepada mereka.

Ini bermakna apabila telah selesai melakukan sesuatu ibadat hendaklah diiringi dengan ibadat yang lain pula sebagai tanda berusaha keras dan bersungguh-sungguh.

Inilah langkah kehidupan seorang muslim yang telah diajarkan oleh Allah Swt kepada Rasulullah saw agar dilaksanakannya bagi mendapatkan kemenangan, dimasukkan ke syurga dan dijauhkan daripada neraka.

Ayat 8

وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَٱرْغَب

Dan hanya kepada Rabbmu-lah hendaknya engkau berharap.

Pada akhir surah ini, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw dan umatnya bertawakkal kepada-Nya dan mengharapkan syurga dengan memohon agar mereka dimasukkan ke dalam syurga yang diingini dan menjauhkan mereka dari neraka.