Surah 91: Asy-Syams (11 – 15)

Penyebab Kebinasaan Kaum Thamud

Surah 91: Asy-Syams (11 – 15)


Ayat 11

كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِطَغْوَىٰهَآ

Kaum Thamud telah mendustakan (rasulnya) kerana mereka melampaui batas (zalim).

Ayat 12

إِذِ ٱنۢبَعَثَ أَشْقَىٰهَا

Ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka.

Ayat 13

فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ ٱللَّهِ نَاقَةَ ٱللَّهِ وَسُقْيَـٰهَا

Maka Rasul Allah (Saleh) berkata kepada mereka, “(Biarkanlah) unta betina Allah ini dengan minumannya.”

Ayat 14

فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمْدَمَ عَلَيْهِمْ رَبُّهُم بِذَنۢبِهِمْ فَسَوَّىٰهَا

Lalu mereka mendustakannya dan menyembelihnya, maka Rabb mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu (Allah) meratakan mereka (dengan tanah).

Ayat 15

وَلَا يَخَافُ عُقْبَـٰهَا

Dan Dia (Allah) tidak takut terhadap akibat tindakan-Nya itu.

Dalam ayat 11 hingga 15 ini, Allah Swt menceritakan kisah kaum Thamud yang telah mendustakan dan mensyirikkan-Nya. Mereka telah melakukan perbuatan yang melampaui batas dalam kemaksiatan.

Allah Swt telah mengutuskan seorang rasul kepada kaum Thamud iaitu Nabi Saleh as. Dia juga menjadikan seekor unta atas permintaan mereka sebagai bukti bahawa Nabi Saleh as adalah utusan-Nya. Namun mereka telah mencelakakan diri mereka sendiri dengan melanggar perjanjian yang telah diikat dengan-Nya.

Hal ini terjadi ketika salah seorang daripada kaum Thamud yang paling celaka iaitu Qudar bin Salif telah diutus oleh kaumnya untuk membunuh unta Nabi Saleh as. Beliau merupakan orang yang paling mulia di kalangan kaum Thamud. Unta tersebut dibunuh dan akibatnya mereka dihancurkan Allah Swt.

Ini menunjukkan bahawa turunnya azab Allah Swt di dunia dan akhirat adalah disebabkan dosa-dosa manusia sendiri. Mendustakan Allah Swt dan rasul-Nya akan mengakibatkan bahaya yang paling besar. Azab ini juga adalah sebagai peringatan Allah Swt kepada hamba-Nya yang lain demi kasih sayang-Nya yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim agar manusia yang lain tidak menempuh jalan yang salah.