Muqaddimah-Al-Fajr

Surah Al-Fajr

Surah Al-Fajr


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:89
Juzuk:30
Jumlah Ayat:30
Maksud Surah:Fajar

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Al-Fajr yang bererti “Fajar” diambil daripada perkataan Al-Fajr (ٱلْفَجْرِ) yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Surah ini memfokuskan tentang kekuasaan Allah Swt, kisah umat terdahulu dan balasan di akhirat.

Isi Kandungan Utama

Sumpah Allah Swt: Allah memulakan surah dengan bersumpah demi waktu fajar, malam yang sepuluh (10 awal Zulhijjah) serta bilangan genap dan ganjil sebagai tanda kebesaran-Nya.

Kisah Umat Terdahulu: Surah ini menceritakan kisah kaum A’ad, kaum Thamud dan Firaun yang dibinasakan Allah kerana melampaui batas, sombong dengan kekuasaan dan terpedaya dengan kemegahan dunia.

Ujian Kekayaan dan Kemiskinan: Manusia diuji oleh Allah samada dalam bentuk kesenangan (kekayaan) atau kesusahan (kemiskinan). Malangnya sesetengah manusia tidak memuliakan anak yatim dan tidak saling mengajak memberi makan orang miskin akibat terlalu cinta kepada harta.

Hari Kiamat dan Pembalasan: Surah ini mengingatkan manusia tentang dahsyatnya Hari Kiamat apabila bumi dihancurkan dan neraka Jahannam diperlihatkan kepada orang yang ingkar.

Jiwa yang Tenang: Di penghujung surah, Allah memanggil hamba-Nya yang memiliki jiwa yang tenang (nafsul mutma’innah) untuk masuk ke dalam syurga-Nya dalam keadaan redha dan diredhai.