Surah 88: Al-Ghasyiyah (21 – 26)

Kewajipan Rasul Hanyalah Memberi Peringatan

Surah 88: Al-Ghasyiyah (21 – 26)


Ayat 21

فَذَكِّرْ إِنَّمَآ أَنتَ مُذَكِّرٌ

Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan.

Walaupun Allah Swt telah menegakkan dalil tentang kekuasaan-Nya, orang-orang kafir masih juga tidak mengambil iktibar.

Oleh itu, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw tetap memberikan peringatan dan pengajaran yang baik serta amaran kepada mereka dengan azab-Nya sama ada mereka mahu memikirkannya ataupun tidak.

Ayat 22

لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِرٍ

Engkau bukanlah orang yang berkuasa ke atas mereka.

Allah Swt memberitahu Rasulullah saw bahawa baginda hanya ditugaskan untuk memberikan peringatan. Baginda tidak berkuasa untuk memberikan hidayah kepada manusia supaya mereka beriman.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Maka sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan, dan Kami-lah yang memperhitungkan (amalan mereka).”

Ar-Ra’d 13:40

Daripada Jabir, Rasulullah saw bersabda:

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengatakan “Tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah.” Apabila mereka sudah mengatakannya, maka mereka telah menjaga darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali dengan haknya. Sedangkan perhitungan amal mereka terserah kepada Allah.” Kemudian, baginda membaca ayat 21 dan 22 ini.”

(HR. Ahmad)

Ayat 23

إِلَّا مَن تَوَلَّىٰ وَكَفَرَ

Tetapi orang yang berpaling dan kufur.

Ayat 24

فَيُعَذِّبُهُ ٱللَّهُ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَكْبَرَ

Maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang besar.

Barangsiapa yang berpaling daripada peringatan dengan mengingkari ayat-ayat Allah Swt dan menentang rasul-Nya serta mendustakan pertemuan dengan-Nya maka Dia akan menyeksanya dengan seksaan yang amat hebat.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kerana dia (dahulu) tidak mahu membenarkan (Al-Quran dan rasul) dan tidak mahu melaksanakan solat. Malah dia mendustakan (rasul) dan berpaling (daripada kebenaran).”

Al-Qiyamah 75:31-32

Ayat 25

إِنَّ إِلَيْنَآ إِيَابَهُمْ

Sesungguhnya kepada Kami-lah mereka kembali.

Ayat 26

ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُم

Kemudian sesungguhnya Kami-lah yang menghisab mereka.

Pada penghujung surah ini, Allah Swt menyatakan bahawa semuanya akan kembali kepada-Nya. Dia-lah yang akan membuat perhitungan terhadap segala amal perbuatan yang telah mereka lakukan. Dia juga akan memberi balasan kepada mereka. Jika amalan baik, maka balasannya juga baik dan jika amalan buruk, maka balasannya buruk pula.