Surah 88: Al-Ghasyiyah (17 – 20)

Perintah agar Manusia Memerhatikan Penciptaan Unta, Langit, Gunung dan Bumi

Surah 88: Al-Ghasyiyah (17 – 20)


Ayat 17

أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ

Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta bagaimana ia diciptakan?

Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya memperhatikan dan merenungi ciptaan-ciptaan-Nya yang menunjukkan kekuasaan dan kebesaran-Nya iaitu:

▪️  Kejadian unta.

Allah Swt memerintahkan manusia memperhatikan bagaimana unta diciptakan. Jika mereka merenung dan memerhatikan tentang penciptaannya nescaya mereka akan dapat kesimpulan bahawa unta adalah haiwan yang menakjubkan. Bentuk serta struktur tubuhnya pun unik. Tubuhnya besar dan mempunyai kekuatan yang luar biasa. Ia mampu mengangkut beban yang berat dan berjalan tegap merentas padang pasir yang luas tanpa merasakan keletihan.

Walaupun kuat, unta ini tetap tunduk kepada pengendalinya yang lemah dan ia mudah digembalakan. Dagingnya dapat dimakan, bulunya dapat dimanfaatkan dan air susunya dapat diminum. Disebutkan unta secara khusus kerana kebanyakan orang-orang Arab menggunakan unta sebagai kenderaan.

Ayat 18

وَإِلَى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ رُفِعَتْ

Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?

▪️  Langit ditinggikan.

Kemudian Allah Swt meminta mereka memperhatikan bagaimana langit ditinggikan di atas bumi tanpa tiang.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retakan sedikitpun?”

Qaf 50:6

Ayat 19

وَإِلَى ٱلْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ

Dan gunung-ganang bagaimana ditegakkan?

▪️  Gunung-ganang ditegakkan.

Gunung-gunung dijadikan berdiri tegak dan kukuh agar bumi tidak bergoncang bersama para penduduknya.

Ayat 20

وَإِلَى ٱلْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Dan bumi bagaimana dihamparkan?

▪️  Bumi dihamparkan.

Bagaimana bumi dibentangkan agar dapat diduduki oleh penghuninya. Mereka dapat memanfaatkan apa yang ada di atasnya dan apa yang terkandung di dalamnya sebagai sumber kehidupan.

Ungkapan dalam bentuk pertanyaan pada ayat 17-20 ini cukup untuk menjadi sindiran dan celaan kepada sesiapa sahaja yang mengingkari adanya Hari Kebangkitan.