Janji Allah Swt kepada Rasulullah saw dan Dia Maha Mengetahui Segala yang Terang dan Tersembunyi
Surah 87: Al-A’la (6 – 13)
Ayat 6
سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰٓ
Kami akan membacakan (Al-Quran) kepadamu (wahai Muhammad) maka engkau tidak akan lupa.
Ini adalah janji Allah Swt kepada Rasulullah saw bahawa Dia akan membacakan kepada baginda dengan bacaan yang tidak akan membuatkan baginda lupa.
Ayat 7
إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۚ إِنَّهُۥ يَعْلَمُ ٱلْجَهْرَ وَمَا يَخْفَىٰ
Kecuali jika Allah menghendaki. Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.
Rasulullah saw tidak akan melupakan sesuatu kecuali jika Allah Swt menghendakinya. Sekiranya perkara ini berlaku, maka ia adalah dengan hikmah di sebaliknya. Hanya Dia yang mengetahui segala perkara, sama ada yang tersembunyi ataupun yang nyata.
Ayat 8
وَنُيَسِّرُكَ لِلْيُسْرَىٰ
Dan Kami akan memberi engkau taufik ke jalan yang mudah.
Seterusnya Allah Swt memberikan jaminan kepada Rasulullah saw bahawa tugas dakwahnya juga akan dipermudahkan-Nya sebagaimana Dia telah mempermudahkan untuknya membaca dan menghafal Al-Quran.
Ayat ini juga merupakan pujukan kepada Rasulullah saw yang berasa berat dengan tugas yang diletakkan di atas bahunya.
Ayat 9
فَذَكِّرْ إِن نَّفَعَتِ ٱلذِّكْرَىٰ
Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat.
Kemudian Rasulullah saw diperintahkan memberikan peringatan kepada umatnya dengan pengajaran yang sesuai yang dapat memberikan manfaat kepada mereka.
Ayat 10
سَيَذَّكَّرُ مَن يَخْشَىٰ
Orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pengajaran.
Sesungguhnya hanya orang-orang yang takut kepada Allah Swt dan meyakini bahawa dia akan bertemu dengan-Nya sahaja yang akan dapat mengambil manfaat daripada peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Ayat 11
وَيَتَجَنَّبُهَا ٱلْأَشْقَى
Dan orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya.
Ayat 12
ٱلَّذِى يَصْلَى ٱلنَّارَ ٱلْكُبْرَىٰ
(Iaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka).
Manakala orang-orang kafir akan menjauhi peringatan tersebut kerana mereka mengingkari dan kufur terhadap Allah Swt.
Inilah golongan yang celaka kerana memilih untuk menjauhi peringatan Allah Swt. Oleh itu, neraka adalah tempat yang paling layak buat mereka.
Ayat 13
ثُمَّ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ
Kemudian dia tidak mati (di dalamnya) dan tidak (juga) hidup.
Orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka, mereka kekal dalam seksaan tersebut. Inilah kesengsaraan yang akan dialami oleh ahli neraka. Wal’iyazubillahi min zalik.