Balasan Syurga kepada Orang Soleh dan Azab yang Keras ke atas Musuh Allah Swt
Surah 85: Al-Buruj (11 – 22)
Ayat 11
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمْ جَنَّـٰتٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْكَبِيرُ
Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, itulah keuntungan yang besar.
Allah Swt menceritakan balasan bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Bagi mereka adalah syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka terselamat daripada neraka. Ini adalah kemenangan yang besar bagi orang-orang yang beriman.
Ayat 12
إِنَّ بَطْشَ رَبِّكَ لَشَدِيدٌ
Sesungguhnya, azab Rabbmu itu benar-benar sangat keras.
Ayat ini merupakan satu penegasan bahawa azab dan pembalasan Allah Swt terhadap musuh-musuh-Nya yang telah mendustakan rasul-rasul-Nya dan menentang perintah-Nya benar-benar sangat pedih, berat lagi keras. Ini kerana Dia Maha Perkasa dan Maha Berkuasa. Segala sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti terjadi menurut apa yang dikehendaki-Nya dalam sekelip mata atau lebih cepat daripada itu.
Ayat 13
إِنَّهُۥ هُوَ يُبْدِئُ وَيُعِيدُ
Sesungguhnya, Dia-lah yang memulakan penciptaan (makhluk) dan yang menghidupkannya (kembali).
Kemudian Allah Swt menyatakan Dia memiliki kekuasaan yang sempurna, dapat menciptakan makhluk dan menghidupkannya kembali seperti pada penciptaan kali pertama tanpa ada sesiapa pun yang dapat menghalang atau mencegah-Nya.
Ayat 14
وَهُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلْوَدُودُ
Dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.
Allah Swt mengampuni dosa betapapun besarnya dosa daripada orang-orang yang bertaubat dan tunduk patuh kepada-Nya. Menurut Ibnu ‘Abbas ra dan lain-lain maksud ٱلْوَدُودُ ialah Zat Yang Maha Penyayang.
Ayat 15
ذُو ٱلْعَرْشِ ٱلْمَجِيدُ
Yang memiliki ‘Arasy lagi Maha Mulia.
Allah Swt juga memiliki ‘Arasy yang besar lagi tinggi di atas semua makhluk.
Ayat 16
فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ
Maha Kuasa melakukan apa yang Dia kehendaki.
Allah Swt berhak melakukan apa sahaja kerana keperkasaan, kebijaksanaan, keadilan dan kebesaran-Nya.
Ayat 17
هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ٱلْجُنُودِ
Sudahkah sampai kepadamu berita tentang bala tentera (penentang).
Ayat 18
فِرْعَوْنَ وَثَمُودَ
Iaitu (kaum) Firaun dan (kaum) Thamud?
Kemudian Allah Swt menanyakan kepada orang-orang kafir tentang berita kesengsaraan dan malapetaka yang ditimpakan-Nya kepada kaum Firaun dan kaum Thamud.
Lihatlah bagaimana Allah Swt telah menghancurkan mereka ketika mereka melakukan kerosakan, kemaksiatan dan kekafiran. Mereka ditimpakan azab tanpa ada seorang pun yang dapat menolaknya. Sesungguhnya azab-Nya benar-benar keras.
Ayat 19
بَلِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فِى تَكْذِيبٍ
Memang orang-orang kafir (selalu) mendustakan.
Pada hakikatnya kaum musyrik Quraisy sangat mendustakan Nabi Muhammad saw dan risalahnya. Mereka tidak mengambil pelajaran dan manfaat daripada kebenaran kisah-kisah tersebut. Mereka hidup atas pendustaan kerana kesombongan, iri hati dan dengki. Oleh itu mereka tetap tidak beriman.
Ayat 20
وَٱللَّهُ مِن وَرَآئِهِم مُّحِيطٌۢ
Padahal Allah mengepung dari belakang mereka.
Sesungguhnya Allah Swt mampu menurunkan seksaan kepada mereka sebagaimana yang telah dilakukan-Nya kepada kaum terdahulu.
Allah Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa ke atas mereka. Mereka tidak akan dapat melepaskan diri daripada pengawasan-Nya dan tidak ada yang mampu menghalang-Nya apabila Dia ingin mengazab mereka.
Ayat 21
بَلْ هُوَ قُرْءَانٌ مَّجِيدٌ
Bahkan (yang didustakan itu) ialah Al-Quran yang mulia.
Ayat 22
فِى لَوْحٍ مَّحْفُوظٍۭ
Yang (tersimpan) di dalam (tempat) yang terjaga (Lauh Mahfuz).
Allah Swt membantah pendustaan mereka terhadap Al-Quran ketika mereka mengatakan bahawa Al-Quran adalah sihir, kata-kata penyair dan dongengan orang-orang dahulu.
Sesungguhnya Al-Quran yang mereka dustakan itu sangat mulia, agung dan merupakan mukjizat. Bahasa dan susunannya begitu sempurna dan tiada siapa yang dapat menandinginya. Al-Quran adalah firman Allah Swt yang terpelihara daripada sebarang kesalahan dan pemalsuan. Al-Quran tersebut tertulis di Lauh Mahfuz di sisi-Nya dan terpelihara daripada olahan syaitan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya (ini) ialah Al-Quran yang mulia, (yang tersimpan) dalam kitab yang terpelihara, tidak ada yang menyentuhnya selain oleh hamba-hamba yang disucikan. Diturunkan daripada Rabb sekalian alam.”
Al-Waqi’ah 56:77-80