Kisah Para Penggali Parit (Ashab al-Ukhdud)
Surah 85: Al-Buruj (4 – 10)
Ayat 4
قُتِلَ أَصْحَـٰبُ ٱلْأُخْدُودِ
Binasalah orang-orang yang membuat parit.
Ayat 5
ٱلنَّارِ ذَاتِ ٱلْوَقُودِ
Yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar.
Ayat 6
إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌ
Ketika mereka duduk di sekitarnya.
Ayat 7
وَهُمْ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ
Sedangkan mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman.
Dalam ayat 4-7 ini, Allah Swt mengutuk dan melaknat para penggali parit (أَصحٰبُ الأُخدودِ) bahawa mereka akan mendapat seksaan di dunia dan juga di akhirat.
Allah Swt menceritakan kisah Ashab al-Ukhdud yang ditujukan kepada seorang raja yang kafir memerintah Najran bersama pengawalnya. Raja tersebut mengarah pengawalnya untuk menggali parit, menyiapkan kayu api dalam parit dan menyalakannya, bertujuan untuk membakar mereka yang beriman kepada Allah Swt. Mereka menangkap orang-orang beriman kemudian memaksa orang-orang beriman tersebut keluar dari agama mereka. Namun orang-orang beriman menolak kehendak mereka lalu dilemparkan ke dalam parit berapi itu sambil mereka duduk menyaksikan kejadian tersebut.
Kisah ini bermula apabila tukang sihir diraja meminta raja untuk dicari pengganti kerana usianya yang semakin lanjut. Lalu raja tersebut berjumpa dengan seorang pemuda dan dia meminta pemuda itu untuk datang ke istana untuk mempelajari ilmu sihir dengan tukang sihir diraja itu. Setiap kali pemuda itu ingin pergi ke istana, dia akan melalui rumah seorang pendeta dan singgah di situ untuk belajar ilmu agama daripada pendeta tersebut. Apabila pemuda itu mendengar ilmu dari pendeta, pemuda tersebut menjadi kagum dengan kebesaran Tuhan (Allah).
Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba ada seekor binatang buas di pertengahan jalan. Pemuda itu berbisik “Sekarang aku nak uji ilmu siapa yang benar. Adakah ilmu tukang sihir ataupun ilmu pendeta.” Pemuda itu pun mengambil batu dan berniat, “Ya Allah, kalau ilmu pendeta itu benar dan lebih Engkau sukai daripada ilmu tukang sihir, maka kau bunuhlah makhluk ini”. Sebaik sahaja dia melemparkan batu tersebut, binatang buas itu pun mati. Maka pemuda itu merasa yakin lalu dia memilih untuk beriman kepada Allah Swt. Dengan keimanannya, Allah menganugerahkan kepadanya kelebihan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit.
Suatu ketika, ada seorang pembantu raja yang buta pergi menemui pemuda itu dan memohon kepadanya agar menyembuhkan butanya. Pemuda itu mahu mendoakan untuknya, tetapi pemuda tu meletakkan syarat bahawa si buta itu mestilah beriman kepada Allah. Syarat tersebut diterima oleh si buta dan akhirnya Allah menyembuhkan mata si buta tersebut.
Raja terkejut dengan kejadian itu dan akhirnya memerintahkan agar pemuda itu ditangkap. Mula-mula, pemuda ini dihukum dengan cara dijatuhkan dari atas gunung. Raja berpesan “Apabila sampainya di sana, jika dia mahu keluar dari agamanya, maka janganlah diapa-apakannya. Tetapi jika dia degil, lemparkan sahaja dia ke dalam jurang”. Namun kuasa Allah lebih besar. Gunung itu tiba-tiba bergegar. Pemuda itu terselamat, sebaliknya orang suruhan raja pula yang terkorban. Kemudian pemuda tersebut pergi berjumpa raja dan menghadapnya. Raja terkejut lalu bertanya, “Mana pengawal-pengawalku?” Pemuda itu menjawab “Allah menyelamatkanku dari kejahatan mereka”.
Lalu Raja perintahkan pengawal-pengawalnya yang lain untuk campakkan pemuda itu ke tengah lautan. Tetapi perkara sama berlaku, pemuda itu terselamat dan pengawal raja semuanya terkorban. Pemuda ini kembali menghadap raja dan raja sekali lagi terkejut. Lalu pemuda itu berkata, “Engkau tidak boleh membunuhku melainkan engkau ikut perintahku”. Raja bertanya, “Apa perintahmu?”
Pemuda itu menjawab, “Kumpulkan seluruh rakyat di lapangan, lalu ikatlah aku di sebatang pokok, dan panahlah aku sambil berkata ‘Bismillahi Rabbi Hazal Ghulam (dengan nama Allah Tuhan pemuda ini)’. Jika engkau ikut arahanku, pasti kau dapat membunuhku”.
Selepas itu, raja benar-benar mengikuti arahan pemuda itu dan berjaya membunuhnya di hadapan rakyatnya. Tetapi sejurus selepas kejadian itu, rakyatnya semua berkata, “Kami beriman kepada Tuhan pemuda ini”.
Raja pun marah, lalu dia terus menyuruh pengawal-pengawalnya menggali parit di sepanjang jalan dengan nyalaan api dan melemparkan sesiapa sahaja yang beriman kepada Allah ke dalam parit itu.
Ada seorang ibu yang sedang menggendong bayinya. Dia termasuk yang beriman kepada Allah. Pada mulanya ibu ini serba salah untuk mengakui keimanannya, dia mula ragu-ragu untuk mengakui keimanannya sebab tak sanggup melihat bayi kecilnya sama-sama terbakar di dalam parit. Lalu dengan izin Allah, bayi ini tiba-tiba bercakap dan memberitahu ibunya, “Wahai ibu. Tabahkan hatimu kerana ibu berada dalam kebenaran.”
Kisah Ashab al-Ukhdud ini mengajar erti perjuangan dalam menegakkan kalimah tauhid. Mereka yang beriman diuji dengan dihumban dan dibakar ke dalam parit.
Ayat 8
وَمَا نَقَمُوا۟ مِنْهُمْ إِلَّآ أَن يُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ
Dan mereka tidak menyeksa orang-orang yang beriman itu melainkan kerana (orang-orang beriman itu) beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu langsung tidak mempunyai apa-apa kesalahan terhadap orang-orang kafir. Ini berlaku hanya disebabkan mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa, yang tidak pernah mensia-siakan permohonan hamba-Nya yang berlindung di bawah naungan-Nya. Dia Maha Kuat, lagi Maha Terpuji dalam semua perbuatan, perkataan, syariat dan takdir-Nya.
Walaupun Allah Swt telah mentakdirkan atas hamba-hamba-Nya yang beriman itu dizalimi oleh orang-orang kafir, Dia tetap Maha Perkasa lagi Maha Terpuji, meskipun hikmah daripada kejadian ini tidak diketahui oleh kebanyakan orang.
Ayat 9
ٱلَّذِى لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ
Yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.
Termasuk kesempurnaan sifat Allah Swt ialah Dia-lah Pemilik seluruh kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya. Tiada sesuatu pun yang ada di langit dan di bumi ini yang tersembunyi daripada-Nya.
Ayat 10
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُوا۟ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا۟ فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ ٱلْحَرِيقِ
Sesungguhnya orang-orang yang menguji orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dengan seksaan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka seksaan Jahannam dan bagi mereka seksaan (neraka) yang membakar.
Sesungguhnya orang-orang kafir yang membakar orang-orang mukmin, lalu mereka tidak mahu menghentikan perbuatan mereka yang sewenang-wenangnya itu dan tidak pula menyesali apa yang telah mereka lakukan, bagi mereka adalah azab Neraka Jahannam. Ini kerana pembalasan disesuaikan dengan jenis perbuatan.