Sumpah Allah Swt bahawa Manusia Pasti Dibangkitkan
Surah 84: Al-Insyiqaq (16 – 25)
Ayat 16
فَلَآ أُقْسِمُ بِٱلشَّفَقِ
Maka Aku bersumpah demi cahaya merah pada waktu senja.
Allah Swt bersumpah dengan beberapa ciptaan-Nya iaitu:
▪️ Cahaya merah di ufuk langit ketika terbenamnya matahari.
Allah Swt bersumpah dengan mega merah apabila matahari telah terbenam. Inilah waktu maghrib. Sumpah ini adalah sebagai penafian orang-orang musyrik terhadap adanya Hari Kebangkitan dan Pembalasan.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah saw telah bersabda:
“Waktu maghrib itu selama cahaya merah (asy-syafaq) belum hilang.”
(HR. Muslim)
Ayat 17
وَٱلَّيْلِ وَمَا وَسَقَ
Demi malam dan apa yang diselubunginya.
▪️ Malam yang gelap gelita dan segala yang diliputinya.
Ini adalah sumpah yang kedua, tentang apabila malam menjelma, ia menutupi semuanya.
Ayat 18
وَٱلْقَمَرِ إِذَا ٱتَّسَقَ
Demi bulan apabila jadi purnama.
▪️ Bulan purnama.
Ini merupakan sumpah ketiga, ketika bulan telah menjadi purnama di pertengahan bulan Qamariah.
Ketiga-tiga suasana yang digambarkan oleh Allah Swt dalam sumpah-sumpah di atas melambangkan kebesaran-Nya, kesempurnaan ciptaan-Nya dan membuktikan Dia Maha Berkuasa.
Ayat 19
لَتَرْكَبُنَّ طَبَقًا عَن طَبَقٍ
Sesungguhnya kamu akan jalani peringkat demi peringkat (kehidupan).
Sesungguhnya manusia akan melalui banyak pengalaman dalam hidup mereka mulai daripada terciptanya mereka daripada setitis air mani yang tersimpan kukuh di dalam rahim. Kemudian dilahirkan menjadi manusia yang sempurna bentuknya. Seterusnya mereka melalui pelbagai peringkat iaitu kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Kemudian mereka akan mati dan dibangkitkan untuk dihisab. Akhir sekali mereka akan dimasukkan sama ada ke dalam syurga ataupun neraka.
Ayat 20
فَمَا لَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Mengapa mereka tidak mahu beriman?
Pertanyaan dalam ayat ini ditujukan kepada manusia yang masih ingkar dan tidak mahu beriman kepada Allah Swt, tidak percaya kepada Hari Kebangkitan padahal mereka diberikan pelbagai dalil yang membuktikan kebenaran risalah yang dibawa oleh para rasul-Nya. Ini merupakan cercaan kepada mereka, apakah yang mencegah mereka untuk beriman?
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.”
Al-Mutaffifin 83:14
Ayat 21
وَإِذَا قُرِئَ عَلَيْهِمُ ٱلْقُرْءَانُ لَا يَسْجُدُونَ
Dan apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak (mahu) bersujud,
Ayat 22
بَلِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُكَذِّبُونَ
Bahkan orang-orang kafir itu mendustakan(nya).
Ayat 23
وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يُوعُونَ
Padahal Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati mereka).
Dalam ayat-ayat di atas, Allah Swt menyatakan bahawa memang menjadi tabiat orang-orang kafir itu bersikap degil dan keras kepala. Mereka tidak mahu tunduk mengikuti pengajaran apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka.
Allah Swt lebih mengetahui perasaan kufur dan suka mendustakan kebenaran yang tersimpan dalam hati mereka. Ini termasuklah perasaan memusuhi Rasulullah saw dan orang-orang yang beriman.
Ayat 24
فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Maka berilah khabar gembira kepada mereka tentang azab yang pedih.
Ini adalah ayat ejekan dan hinaan kepada orang-orang yang ingkar. Sesungguhnya Allah Swt telah menyiapkan seksaan yang pedih buat mereka.
Ayat 25
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍۭ
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.
Pada akhir surah ini, Allah Swt memberikan dorongan kepada orang-orang musyrik untuk mengubah keadaan diri dan menerima Islam. Ini kerana Dia menyatakan pengecualian kepada orang-orang yang beriman dengan sepenuh hati dan beramal soleh, iaitu mereka terlepas daripada ancaman seksa yang pedih tersebut.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan adapun orang-orang yang berbahagia, maka (tempatnya) di dalam syurga, mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali Rabbmu menghendaki (yang lain), sebagai kurniaan yang tidak putus-putusnya.”
Hud 11:108