Balasan pada Hari Amalan Dihitung
Surah 84: Al-Insyiqaq (6 – 15)
Ayat 6
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْإِنسَـٰنُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَىٰ رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلَـٰقِيهِ
Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan bersungguh-sungguh menuju Rabbmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.
Allah Swt menyatakan manusia telah beramal siang dan malam dengan bersungguh-sungguh sama ada dalam kebaikan ataupun keburukan. Akhirnya mereka akan bertemu dengan Rabb mereka melalui kematian.
Alangkah beruntungnya sekiranya seseorang itu bertemu Allah Swt dalam keadaan melakukan kebaikan sehingga mendapat keredhaan dan dimuliakan-Nya.
Daripada Jabir ra, Rasulullah saw bersabda:
“Jibril berkata, ‘Wahai Muhammad! Jalanilah hidup sekehendakmu kerana engkau pasti akan mati. Dan cintailah apa sahaja keinginanmu kerana engkau pasti berpisah daripadanya. Serta berbuatlah sekehendakmu kerana engkau pasti akan menemui balasannya.’”
(HR. Abu Dawud)
Ayat 7
فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ
Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya.
Ayat 8
فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا
Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah.
Kemudian Allah Swt menyebutkan keadaan manusia yang terbahagi kepada dua golongan iaitu:
▪️ Golongan orang-orang beriman (golongan berbahagia).
Sesiapa yang diberikan kitab catatan amalannya dari sebelah kanan, maka itulah orang beriman. Dia dihisab dengan hisab yang ringan dan segala perhitungan terhadap semua amalannya tidak dipersulitkan. Allah Swt mengampuninya tanpa mempersoalkannya. Itulah yang disebut حِسَابًا يَسِيرًا iaitu perhitungan yang ringan.
Daripada ‘Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang dipersulitkan hisabnya (diperiksa dengan teliti), maka dia (pasti) diseksa.”
‘Aisyah ra bertanya, “Bukankah Allah Swt telah berfirman, ‘Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah?’” Maka Rasulullah saw bersabda:
“Hal itu bukanlah hisab akan tetapi hanyalah pembentangan sahaja, kerana (hisab yang sebenarnya) ialah orang yang diteliti dan dipersulit pemeriksaannya pada Hari Kiamat, maka dia pasti diseksa.”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, An-Nasa’i dan Ibnu Jarir)
Ayat 9
وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًا
Dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.
Selepas itu dia akan ditempatkan dengan keluarganya yang sama-sama beriman di dalam syurga. Keadaan ini selepas dia terselamat dalam penghisaban kitab amalan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan orang-orang yang beriman, dan anak cucu mereka mengikuti mereka dengan keimanan, Kami pertemukan anak cucu mereka itu dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikitpun pahala (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”
At-Tur 52:21
Ayat 10
وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ
Adapun orang yang diberikan kitabnya dari belakang.
▪️ Golongan orang-orang kafir (golongan yang sengsara).
Dalam ayat ini disebutkan pula bahawa ada yang akan menerima kitab mereka dengan tangan kiri dari belakang.
Ayat 11
فَسَوْفَ يَدْعُوا۟ ثُبُورًا
Maka dia akan berteriak, “Celakalah aku.”
Ketika dia membaca kitabnya, maka berteriaklah dengan penuh ketakutan dan penyesalan.
Ayat 12
وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا
Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).
Lalu dia dilemparkan ke dalam neraka dan merasakan azab di dalamnya.
Ayat 13
إِنَّهُۥ كَانَ فِىٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًا
Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan keluarganya (yang sama-sama kafir).
Kemudian Allah Swt menyebutkan dua perkara yang mereka lakukan sehingga mereka mendapat seksaan iaitu:
▪️ Bergembira dengan kekafiran bersama dengan keluarganya.
Hal ini kerana semasa di dunia dahulu dia hidup bergembira tanpa memikirkan akibat daripada amal perbuatannya, dan tidak takut kepada hari kemudian. Maka Allah Swt menghukum kegembiraan yang sebentar itu dengan kesedihan yang berpanjangan.
Ayat 14
إِنَّهُۥ ظَنَّ أَن لَّن يَحُورَ
Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia tidak akan kembali (kepada Rabbnya).
▪️ Menyangka tidak akan dibangkitkan.
Sesungguhnya dia meyakini bahawa dia tidak akan dihidupkan kembali dan dihadapkan kepada Allah Swt setelah kematiannya.
Ayat 15
بَلَىٰٓ إِنَّ رَبَّهُۥ كَانَ بِهِۦ بَصِيرًا
Tidak demikian, sesungguhnya Rabbnya selalu melihatnya.
Bahkan Allah Swt akan menghidupkannya kembali sebagaimana Dia telah menghidupkannya pada kali pertama. Dia akan membalas semua amalannya yang baik dan yang buruk. Ini kerana sesungguhnya Dia Maha Melihat, Maha Mengetahui lagi Maha Mengenalinya.