Kitab Illiyyin – Buku Catatan bagi Orang yang Berbakti
Surah 83: Al-Mutaffifin (18 – 28)
Ayat 18
كَلَّآ إِنَّ كِتَـٰبَ ٱلْأَبْرَارِ لَفِى عِلِّيِّينَ
Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang yang berbakti itu benar-benar (tersimpan) dalam ‘Illiyyin.
Ayat 19
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا عِلِّيُّونَ
Dan tahukah engkau apakah ‘Illiyyin itu?
Ayat 20
كِتَـٰبٌ مَّرْقُومٌ
(Iaitu) kitab yang bertulis.
Ayat 21
يَشْهَدُهُ ٱلْمُقَرَّبُونَ
Yang disaksikan oleh malaikat-malaikat yang didekatkan (kepada Allah).
Allah Swt menyebutkan tentang buku catatan amal orang-orang yang berbakti itu disimpan di ‘Illiyyin.
Daripada Hilal bin Yasaf dia mengatakan bahawa Ibnu ‘Abbas ra pernah bertanya kepada Ka’ab tentang Sijjin. Ka’ab menjawab bahawa Sijjin terletak di bumi lapis yang ketujuh, di dalamnya tersimpan roh-roh orang-orang kafir. Ibnu ‘Abbas ra pun bertanya lagi kepada Ka’ab tentang ‘Illiyyin, maka Ka’ab pun menjawab bahawa ‘Illiyyin terletak di langit yang ketujuh, di dalamnya tersimpan roh-roh orang-orang mukmin. Hal yang sama dikatakan pula bukan hanya oleh seorang ulama, bahawa sesungguhnya ‘Illiyyin itu terletak di langit yang ketujuh.
‘Ali bin Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat ini ialah buku catatan amalan orang-orang berbakti itu tersimpan di dalam syurga. Menurut ulama tafsir yang lain mengatakan ‘Illiyyin terletak di Sidratul Muntaha. ‘Illiyyin diambil daripada kata al-‘uluwwu yang bermaksud tinggi, agung dan lapang.
Allah Swt membesar-besarkan dan membangga-banggakan perkara ‘Illiyyin dengan firmannya, “Dan tahukah engkau apakah ‘Illiyyin itu?” untuk menegaskan isi catatannya, kerana ia di catat oleh para malaikat yang menjadi saksi dengan jaminan keselamatan ke atas pemiliknya iaitu orang-orang yang berbakti.
Ayat 22
إِنَّ ٱلْأَبْرَارَ لَفِى نَعِيمٍ
Sesungguhnya orang yang berbakti itu benar-benar berada dalam kenikmatan (syurga).
Pada Hari Kiamat kelak, orang-orang yang berbakti ini berada dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan beroleh kurniaan Allah Swt yang melimpah.
Ayat 23
عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ يَنظُرُونَ
Mereka (duduk) di atas pelamin-pelamin sambil memandang.
Maksud ٱلْأَرَآئِكِ ialah pelamin-pelamin yang beralaskan permaidani. Mereka duduk di atasnya sambil melihat dan merenung segala anugerah kebaikan yang diberikan oleh Allah Swt kepada mereka. Semua itu tidak akan habis-habis dan tidak akan musnah atau hilang selama-lamanya.
Menurut pendapat yang lain, maksud ayat ini ialah mereka duduk di atas pelamin sambil memandang Allah Swt. Hal ini berbeza dengan apa yang digambarkan oleh Allah Swt tentang keadaan orang-orang yang derhaka, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang daripada melihat-Nya.
Ayat 24
تَعْرِفُ فِى وُجُوهِهِمْ نَضْرَةَ ٱلنَّعِيمِ
Kamu dapat mengetahui daripada wajah mereka kesenangan mereka yang penuh kenikmatan.
Apabila melihat wajah mereka, tercerminlah kegembiraan mereka. Muka mereka cerah berseri-seri, gembira dan senang dengan nikmat yang mereka rasakan. Ini kerana Allah Swt telah menambah keelokan mereka. Betapa besarnya nikmat tersebut.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Banyak wajah pada hari itu berseri-seri, tertawa dan gembira ria.”
‘Abasa 80:38-39
Ayat 25
يُسْقَوْنَ مِن رَّحِيقٍ مَّخْتُومٍ
Mereka diberi minum daripada arak murni yang ditutup rapat.
Ibnu Mas’ud ra, Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Al-Hasan, Qatadah dan Ibnu Zaid mengatakan mereka diberi minum dengan arak dari syurga. Kalimah رَّحِيقٍ adalah termasuk salah satu nama lain bagi arak syurga.
Ayat 26
خِتَـٰمُهُۥ مِسْكٌ ۚ وَفِى ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ ٱلْمُتَنَـٰفِسُونَ
Penutupnya adalah kasturi, dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba.
Ibnu Mas’ud ra mentafsirkan ayat, “Penutupnya adalah kasturi,” bermaksud minuman arak itu dicampur dengan kasturi.
Al-‘Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa Allah mengharumkan aroma arak syurga dengan mencampurkan kasturi kepada arak syurga itu, kemudian dibalut juga dengan kasturi.
Pada akhir ayat ini dinyatakan sekiranya manusia ingin mendapatkan kenikmatan seperti ini, maka hendaklah mereka berlumba-lumba dalam memperbanyakkan amal.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Untuk (kemenangan) seperti ini, hendaklah beramal orang-orang yang mampu beramal.”
As-Saffat 37:61
Ayat 27
وَمِزَاجُهُۥ مِن تَسْنِيمٍ
Dan campuran arak murni itu adalah daripada tasnim.
Ayat 28
عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا ٱلْمُقَرَّبُونَ
(Iaitu) mata air yang minum daripadanya orang-orang yang didekatkan kepada Allah.
Rahiq رَّحِيقٍ yang telah disebutkan tadi dicampur dengan tasnim. Tasnim ini adalah minuman yang paling baik bagi ahli syurga dan hanya diberi kepada orang-orang yang didekatkan dengan Allah Swt.
Ayat-ayat tentang kenikmatan syurga di atas merupakan motivasi kepada manusia agar mereka berlumba-lumba untuk taat dan patuh kepada Allah Swt dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya.