Surah 83: Al-Mutaffifin (7 – 17)

Kitab Sijjin – Buku Catatan bagi Orang yang Derhaka

Surah 83: Al-Mutaffifin (7 – 17)


Ayat 7

كَلَّآ إِنَّ كِتَـٰبَ ٱلْفُجَّارِ لَفِى سِجِّينٍ

Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang derhaka tersimpan dalam Sijjin.

Ayat 8

وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا سِجِّينٌ

Tahukah engkau apakah Sijjin itu?

Ayat 9

كِتَـٰبٌ مَّرْقُومٌ

(Ialah) kitab yang bertulis.

Allah Swt mengingatkan manusia agar tidak melakukan penipuan dalam sukatan dan timbangan kerana itu adalah perbuatan derhaka terhadap-Nya. Amalan mereka akan diperkirakan dengan mencatatkannya dalam kitab yang disediakan bernama Sijjin.

Allah Swt menyatakan tentu sahaja Nabi Muhammad saw dan umatnya tidak mengetahui apakah Sijjin itu. Ia adalah kitab yang tertulis di dalamnya yang tidak ada kebaikan, kerana hanya tercatat keburukan amalan orang-orang yang derhaka.

Ayat 10

وَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِّلْمُكَذِّبِينَ

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

Ayat 11

ٱلَّذِينَ يُكَذِّبُونَ بِيَوْمِ ٱلدِّينِ

(Iaitu) orang-orang yang mendustakan Hari Pembalasan.

Inilah seksaan yang sangat hina dan pedih pada Hari Kiamat kelak bagi orang-orang yang mendustakan Hari Pembalasan.

Ayat 12

وَمَا يُكَذِّبُ بِهِۦٓ إِلَّا كُلُّ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ

Dan tidak ada yang mendustakan Hari Pembalasan itu melainkan setiap orang yang melampaui batas lagi berdosa.

Ayat 13

إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ ءَايَـٰتُنَا قَالَ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

Yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata, “Itu adalah dongengan orang-orang yang dahulu.”

Seterusnya, Allah Swt menyatakan sifat orang-orang yang mendustakan Hari Pembalasan. Mereka mengatakan bahawa ayat-ayat Al-Quran merupakan dongengan orang-orang terdahulu.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Apakah yang telah diturunkan Tuhanmu?’ Mereka menjawab, ‘Dongeng-dongengan orang-orang dahulu.’”

An-Nahl 16:24

Ayat 14

كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.

Namun Allah Swt menegaskan bahawa Al-Quran bukanlah dongengan orang-orang dahulu tetapi oleh sebab hati mereka telah tertutup akibat dosa-dosa yang telah dilakukan, mereka tidak dapat menilai dan menerima kebenaran.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya apabila seorang hamba berbuat satu dosa, maka ada bintik hitam di hatinya. Jika dia bertaubat, maka hatinya berkilat, tetapi jika bertambah dosanya, maka bertambah pula bintik hitam di hatinya. Hal itu sesuai dengan firman-Nya, ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.’”

(HR. At-Tirmizi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Ayat 15

كَلَّآ إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ

Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang daripada (melihat) Rabb mereka.

Ayat ini merupakan cercaan dan celaan bagi orang-orang yang mengungkapkan perkataan-perkataan yang batil dan melakukan dosa.  Sebagaimana selama di dunia mereka tertutup untuk mengesakan Allah Swt kerana keburukan pegangan mereka, maka di akhirat terhalang untuk melihat Rabb mereka dan kemuliaan-Nya di akhirat nanti.

Ayat 16

ثُمَّ إِنَّهُمْ لَصَالُوا۟ ٱلْجَحِيمِ

Kemudian, sesungguhnya mereka benar-benar masuk neraka.

Sesungguhnya mereka akan masuk dan tenggelam dalam neraka serta diseksa dengan pelbagai seksaan.

Ayat 17

ثُمَّ يُقَالُ هَـٰذَا ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ

Kemudian, dikatakan (kepada mereka), “Inilah azab yang dahulu selalu kamu dustakan.”

Inilah ucapan yang ditujukan kepada mereka sebagai penghinaan kerana dahulu semasa di dunia mereka mendustakan azab yang dijanjikan.