Surah 83: Al-Mutaffifin (1 – 6)

Ancaman Allah Swt terhadap Orang yang Menipu dalam Sukatan dan Timbangan

Surah 83: Al-Mutaffifin (1 – 6)


Ayat 1

وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang.

Allah Swt memulakan surah ini dengan kalimah وَيْلٌ iaitu Dia menyumpah orang-orang yang mengurangi hak orang lain dalam sukatan dan timbangan bahawa mereka akan mendapat kebinasaan.

Sekiranya Allah Swt yang menyumpah tentu mereka akan mendapat kemusnahan yang besar. Oleh itu, Dia memberi amaran supaya mereka tidak melakukan kesalahan yang amat berat ini.

Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, didapati penduduk-penduduk Madinah termasuk dalam kalangan orang-orang yang paling curang dalam menyukat barang dagangan sehingga Allah Swt menurunkan ayat ini. Setelah itu mereka tidak lagi berlaku curang dalam menyukat.”

Ayat 2

ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكْتَالُوا۟ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسْتَوْفُونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dicukupkan.

Ayat 3

وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ

Dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya.

Kemudian dalam ayat 2 dan 3 ini, Allah Swt menerangkan bahawa maksud curang ialah melakukan sewenang-wenangnya dalam sukatan dan timbangan ketika berjual beli. Ini sama ada mereka meminta dilebihkan sukatan dan timbangan tatkala mereka membeli ataupun menguranginya ketika mereka menjual.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Al-Isra’ 17:35

Ayat 4

أَلَا يَظُنُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ

Tidakkah orang-orang itu yakin, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan,

Ayat 5

لِيَوْمٍ عَظِيمٍ

Pada suatu hari yang besar.

Ayat 6

يَوْمَ يَقُومُ ٱلنَّاسُ لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

(Iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Rabb seluruh alam?

Seterusnya dalam ayat 4-6 ini pula, terdapat ancaman Allah Swt kepada orang-orang yang sama sekali tidak takut kepada Hari Kebangkitan.

Pada hari itu mereka akan berdiri di hadapan Rabb Yang Maha Mengetahui segala rahsia dan semua yang tersimpan dalam hati.

Daripada Ibnu ‘Umar ra, Rasulullah saw bersabda:

“Pada hari ketika semua orang bangkit menghadap Rabb seluruh alam, hingga salah seorang daripada mereka tenggelam dalam peluhnya sendiri sampai ke paras kedua-dua telinga.”

(HR. Al-Bukhari)

Daripada Miqdad ibnu Al-Aswad Al-Kindi, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Pada Hari Kiamat nanti, matahari didekatkan kepada manusia sehingga jarak lebih kurang satu atau dua batu, lalu matahari menyengat mereka dengan kepanasan sehingga mereka berpeluh sesuai dengan amalan masing-masing. Ada yang sehingga paras kedua-dua tumit, ada yang sehingga paras kedua-dua lutut, ada yang hingga ke paras kedua-dua pinggang, dan ada yang hingga ke leher.”

(HR. Ahmad)