Keadaan Alam Semesta pada Hari Kiamat
Surah 81: At-Takwir (1 – 6)
Ayat 1
إِذَا ٱلشَّمْسُ كُوِّرَتْ
Apabila matahari digulung.
Dalam ayat 1-6 ini, Allah Swt menyebutkan perkara-perkara yang akan terjadi pada Hari Kiamat. Dia menggambarkan kehancuran alam semesta yang amat hebat kerana pada masa itu sistem peredarannya telah dirosakkan sama sekali.
Ada enam tanda sebelum Hari Kiamat yang amat dahsyat dan menakutkan, iaitu:
▪️ Matahari digulung.
Tanda pertama adalah apabila matahari digulung dan cahayanya pun hilang. Matahari akan dibenamkan bersama dengan planet-planet yang lain.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Matahari dan bulan akan digulung pada Hari Kiamat.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 2
وَإِذَا ٱلنُّجُومُ ٱنكَدَرَتْ
Dan apabila bintang-bintang berjatuhan.
▪️ Bintang-bintang berjatuhan.
Tanda lainnya apabila bintang-bintang hilang warnanya dan jatuh berselerakan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan apabila bintang-bintang jatuh berselerakan.”
Al-Infitar 82:2
Ayat 3
وَإِذَا ٱلْجِبَالُ سُيِّرَتْ
Dan apabila gunung-ganang dihancurkan.
▪️ Gunung-gunung dihancurkan.
Tanda yang ketiga ialah apabila gunung-gunung yang dahulunya berdiri kukuh kemudiannya menjadi hancur seperti debu dan terbang ditiup angin.
Ayat 4
وَإِذَا ٱلْعِشَارُ عُطِّلَتْ
Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan).
▪️ Unta-unta yang hamil ditinggalkan begitu sahaja.
Tanda yang seterusnya ialah apabila unta yang telah bunting 10 bulan ditinggalkan begitu sahaja kerana pemiliknya terlalu sibuk dengan hura-haranya Hari Kiamat.
Bagi masyarakat Arab, unta bunting 10 bulan sangat berharga kepada mereka kerana unta tersebut sudah hampir hendak bersalin. Mereka tidak akan membiarkan begitu sahaja kerana ia adalah harta mereka yang paling bernilai.
Ayat 5
وَإِذَا ٱلْوُحُوشُ حُشِرَتْ
Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan.
▪️ Binatang-binatang dikumpulkan.
Selain manusia, binatang-binatang liar juga akan dibangkitkan dan dikumpulkan untuk saling membalas antara satu dengan yang lain.
Ada juga pendapat yang mengatakan maksud pengumpulan dalam ayat ini ialah mematikan dan membinasakannya.
Binatang-binatang yang liar dan buas lari bertempiaran dan bercampur dengan yang lainnya kerana binatang-binatang juga berada dalam ketakutan disebabkan suasana Hari Kiamat yang amat dahsyat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan tidak ada seekor binatang pun yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan semuanya merupakan umat-umat (juga) seperti kamu. Tidak ada sesuatu pun yang Kami luputkan di dalam kitab, kemudian kepada Rabb mereka dikumpulkan.”
Al-An’am 6:38
Ayat 6
وَإِذَا ٱلْبِحَارُ سُجِّرَتْ
Dan apabila lautan dipanaskan.
▪️ Lautan dinyalakan.
Tanda berikutnya ialah apabila lautan dinyalakan dengan gunung berapi dan gempa bumi sehingga menjadi api yang menyala.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Demi lautan yang penuh tepu (dengan kepanasan).”
At-Tur 52:6