Manusia Tidak Lagi Mempedulikan Keluarga pada Hari Kiamat
Surah 80: ‘Abasa (33 – 37)
Ayat 33
فَإِذَا جَآءَتِ ٱلصَّآخَّةُ
Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua).
Terdapat beberapa penafsiran untuk perkataan ٱلصَّآخَّةُ (as-sakhkhah), iaitu:
▪️ Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ٱلصَّآخَّةُ (as-sakhkhah – suara yang memekakkan) ialah salah satu nama lain bagi Hari Kiamat yang Allah Swt agungkan. Dia memperingatkan dan menakutkan hamba-hamba-Nya dengan hari tersebut.
▪️ Ibnu Jarir mengatakan bahawa kemungkinan ia merupakan nama tiupan sangkakala.
▪️ Manakala Al-Baghawi mengatakan, ‘as-sakhkhah’ adalah pekikan pada Hari Kiamat. Dinamakan demikian kerana bunyinya memekakkan telinga sehingga hampir membuatkan telinga menjadi tuli.
Ayat 34
يَوْمَ يَفِرُّ ٱلْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ
Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya.
Ayat 35
وَأُمِّهِۦ وَأَبِيهِ
Dan daripada ibu dan bapanya.
Ayat 36
وَصَـٰحِبَتِهِۦ وَبَنِيهِ
Dan daripada isteri dan anak-anaknya.
Ketika berlakunya Hari Kiamat, manusia saling menjauhkan diri antara satu dengan yang lainnya dalam keadaan ketakutan kerana pada hari itu keadaannya tersangat dahsyat dan urusannya teramat berat.
Dalam hadis sahih tentang syafaat, disebutkan bahawa ketika rasul-rasul Ulul ‘Azmi diminta syafaat untuk seluruh manusia di hadapan Allah Swt, setiap daripada mereka akan berkata, “Aduhai diriku, diriku. Pada hari ini aku tidak akan meminta kepada-Mu kecuali untuk diriku sendiri.” Bahkan ‘Isa putera Maryam as juga berkata, “Aduhai diriku, diriku. Pada hari ini aku tidak akan meminta kepada-Mu kecuali untuk diriku sendiri. (Bahkan) aku tidak akan meminta kepada-Nya untuk Maryam yang telah melahirkanku.”
(HR. Muslim)
Ayat 37
لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ
Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.
Setiap orang akan tersangat sibuk dengan urusan sendiri sehingga tidak mempedulikan orang lain.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:
“Kalian akan dikumpulkan tanpa alas kaki, tanpa pakaian, berjalan kaki dan tidak berkhitan.” Lalu isteri Nabi bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami saling melihat?” Lalu baginda menjawab, “Setiap orang pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan.”
(HR. Al-Hakim)