Teguran Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw
Surah 80: ‘Abasa (1 – 16)
Ayat 1
عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ
Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling.
Ayat 2
أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ
Kerana telah datang seorang buta kepadanya.
Beberapa ulama tafsir menyebutkan bahawa pada suatu hari Rasulullah saw sedang berdialog dengan salah seorang daripada tokoh Quraisy dan baginda sangat mengharapkan keislamannya. Ketika baginda sedang berdialog dengan tokoh tersebut, tiba-tiba datanglah Abdullah bin Ummi Maktum, salah seorang sahabat yang telah masuk Islam sejak lama. Kemudian Abdullah bin Ummi Maktum bertanya sesuatu kepada Rasulullah saw dan mengulang-ngulang pertanyaan tersebut. Pada saat itu baginda sendiri sangat menginginkan andaikata Abdullah bin Ummi Maktum dapat menahan diri dan tidak mengganggunya, agar baginda dapat menumpukan pembicaraannya dengan tokoh Quraisy itu. Ini kerana baginda sangat menginginkannya mendapat hidayah. Baginda pun bermuka masam kepada Abdullah bin Ummi Maktum, tidak memperhatikannya dan berpaling daripadanya. Maka Allah Swt menurunkan ayat 1-3, “Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. Kerana telah datang seorang buta kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin membersihkan dirinya (daripada dosa).”
Ayat 3
وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُۥ يَزَّكَّىٰٓ
Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin membersihkan dirinya (daripada dosa).
Ayat 4
أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكْرَىٰٓ
Atau dia ingin mendapatkan pengajaran, yang memberi manfaat kepadanya?
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak mengetahui bahawa kemungkinan Abdullah bin Ummi Maktum datang menemuinya adalah kerana ingin membersihkan diri daripada dosa dengan beramal soleh dengan ilmu yang dipelajarinya daripada baginda atau dia mengambil pelajaran sehingga dia mendapatkan manfaat daripada apa yang dia pelajari daripadanya.
Ayat 5
أَمَّا مَنِ ٱسْتَغْنَىٰ
Adapun orang yang berasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy).
Ayat ini merujuk kepada pembesar-pembesar Quraisy yang merasakan diri mereka serba cukup kerana kaya dan memiliki kekuasaan sehingga tidak memerlukan lagi kepada pertolongan Allah Swt.
Ayat 6
فَأَنتَ لَهُۥ تَصَدَّىٰ
Maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya.
Maka Allah Swt menegur Rasulullah saw dengan halus dan lembut kerana lebih memberikan layanan atau tumpuan kepada orang-orang Quraisy.
Allah Swt membandingkan sifat mereka dengan sikap Abdullah bin Ummi Maktum yang memang menginginkan peringatan agar dia dapat membersihkan dirinya sehinggakan dalam keadaan buta sekali pun, beliau tetap pergi menemui Rasulullah saw untuk mendapatkan ilmu wahyu. Sedangkan pembesar Quraisy pada ketika itu mereka belum beriman dan belum tentu mereka akan beriman walaupun mereka diberikan layanan yang istimewa.
Ayat 7
وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ
Padahal tidak ada (celaan) ke atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman).
Allah Swt menyatakan bahawa bukanlah menjadi kesalahan kepada Rasulullah saw dan baginda tidak dipertanggungjawabkan sekiranya orang-orang kafir tidak mahu beriman.
Ayat 8
وَأَمَّا مَن جَآءَكَ يَسْعَىٰ
Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan segera (untuk mendapatkan pengajaran),
Ayat 9
وَهُوَ يَخْشَىٰ
Sedang dia takut (kepada Allah),
Ayat 10
فَأَنتَ عَنْهُ تَلَهَّىٰ
Maka engkau (Muhammad) mengabaikannya.
Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa Abdullah bin Ummi Maktum lebih penting daripada para pembesar-pembesar Quraisy. Ini kerana beliau datang kepada Rasulullah saw dengan keadaan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ilmu disebabkan adanya perasaan takut kepada Allah Swt. Ini berbeza dengan sikap para pembesar Quraisy yang merasakan diri mereka serba cukup dan tidak memerlukan keimanan.
Ayat 11
كَلَّآ إِنَّهَا تَذْكِرَةٌ
Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya, ajaran-ajaran Allah itu suatu peringatan.
Ayat 12
فَمَن شَآءَ ذَكَرَهُۥ
Maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah dia memperhatikannya.
Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya ayat-ayat-Nya adalah peringatan kepada semua. Dia memerintahkan untuk berlaku adil dalam berdakwah tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Kemudian Dia-lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempelajari dan mengamalkan isi Al-Quran, maka berbahagialah dia di dunia dan di akhirat.
Ayat 13
فِى صُحُفٍ مُّكَرَّمَةٍ
Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah).
Ayat 14
مَّرْفُوعَةٍ مُّطَهَّرَةٍۭ
Yang ditinggikan (dan) disucikan.
Ayat 15
بِأَيْدِى سَفَرَةٍ
Di tangan para penulis (malaikat),
Ayat 16
كِرَامٍۭ بَرَرَةٍ
Yang mulia dan berbakti.
Dalam rangkaian ayat-ayat 13-16 ini, Allah Swt menyatakan bahawa sebelum ayat-ayat Al-Quran diturunkan ke dunia dan disampaikan kepada Rasulullah saw, ia telah terlebih dahulu tertulis dalam kitab-kitab dan tertahan di langit pertama. Ia diletakkan di tempat yang mulia, kemudian diturunkan ke dunia dengan teratur secara beransur-ansur.
Al-Quran itu adalah kitab yang diagungkan dan dimuliakan. Tiada seorang pun yang dapat menyentuhnya kecuali para malaikat yang suci. Ia disucikan dan dibersihkan daripada sebarang tambahan atau kekurangan kerana ia adalah semata-mata wahyu daripada Allah Swt.