Hari Kiamat, Kesengsaraan dan Kenikmatannya
Surah 79: An-Nazi’at (34 – 46)
Ayat 34
فَإِذَا جَآءَتِ ٱلطَّآمَّةُ ٱلْكُبْرَىٰ
Maka apabila malapetaka yang sangat besar (Hari Kiamat) telah datang.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa Hari Kiamat dinamakan dengan ٱلطَّآمَّةُ kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa yang dahsyat lagi sangat mengerikan, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah Swt:
“……….dan Hari Kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.”
Al-Qamar 54:46
Ayat 35
يَوْمَ يَتَذَكَّرُ ٱلْإِنسَـٰنُ مَا سَعَىٰ
Pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya.
Pada hari itu akan ditunjukkan kepada manusia segala kebaikan dan keburukan yang telah dia kerjakan, sehingga dia dapat mengingat semuanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….pada hari itu sedarlah manusia, tetapi tidak berguna lagi kesedaran itu.”
Al-Fajr 89:23
Ayat 36
وَبُرِّزَتِ ٱلْجَحِيمُ لِمَن يَرَىٰ
Dan neraka diperlihatkan dengan jelas kepada setiap orang yang melihat.
Kemudian Neraka Jahannam akan didatangkan dan dinampakkan kepada setiap orang. Mereka semuanya dapat melihatnya dengan jelas.
Pada saat itu, manusia terbahagi kepada dua iaitu yang mukmin dan yang kafir. Demikian juga hanya terdapat dua jalan iaitu jalan ke syurga dan jalan ke neraka.
Ayat 37
فَأَمَّا مَن طَغَىٰ
Adapun orang yang melampaui batas.
Ayat 38
وَءَاثَرَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا
Dan lebih mengutamakan kehidupan dunia.
Ayat 39
فَإِنَّ ٱلْجَحِيمَ هِىَ ٱلْمَأْوَىٰ
Maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).
Adapun bagi orang-orang yang melampaui batas, yang menentang dan lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada urusan agama tanpa menyiapkan bekal akhiratnya, maka tempat kembali mereka adalah Neraka Jahim. Makanan mereka adalah buah zaqqum dan minuman yang disediakan adalah air mendidih yang sangat panas.
Ayat 40
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفْسَ عَنِ ٱلْهَوَىٰ
Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Rabbnya dan menahan diri daripada (keinginan) hawa nafsunya.
Ayat 41
فَإِنَّ ٱلْجَنَّةَ هِىَ ٱلْمَأْوَىٰ
Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya).
Manakala orang-orang yang takut dengan kebesaran dan keagungan Allah Swt, mereka melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka syurgalah balasan kepada mereka.
Mereka memperoleh kenikmatan syurga yang penuh dengan mata air yang mengalir, istana-istana yang tinggi, gelas-gelas yang telah disediakan dan di sekeliling mereka dipenuhi dengan hamparan permaidani. Mereka kekal di dalamnya.
Ayat 42
يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَىٰهَا
(Orang-orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Hari Kebangkitan, bilakah terjadinya?
Orang-orang kafir tidak mempercayai Hari Kiamat. Oleh itu, mereka mengejek dan memperlekehkan berita yang dibawa oleh Rasulullah saw dengan bertanya bilakah datangnya hari tersebut.
Ayat 43
فِيمَ أَنتَ مِن ذِكْرَىٰهَآ
Siapakah kamu (maka) dapat menyebutkan (waktunya)?
Allah Swt menyatakan untuk apa Rasulullah saw perlu menyebutkan waktu akan berlakunya Hari Kiamat kepada mereka, sedang baginda sendiri tidak mengetahui hal tersebut.
Ayat 44
إِلَىٰ رَبِّكَ مُنتَهَىٰهَآ
Kepada Rabbmu dikembalikan kesudahannya (ketentuan waktunya).
Sesungguhnya hanya Allah Swt sahajalah yang Maha Mengetahui bila berlakunya Hari Kiamat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang Kiamat, ‘Bila akan terjadinya?’ Katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang Kiamat itu ada pada Rabbku, tidak ada (seorang pun) yang dapat menjelaskan waktu terjadinya selain Dia. (Kiamat) itu sangat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi, tidak akan datang kepadamu kecuali secara tiba-tiba.’ Mereka bertanya kepadamu seakan-akan engkau mengetahuinya. Katakanlah (Muhammad), ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang (Hari Kiamat) ada pada Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.’”
Al-A’raf 7:187
Ayat 45
إِنَّمَآ أَنتَ مُنذِرُ مَن يَخْشَىٰهَا
Engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (Hari Berbangkit).
Allah Swt menegaskan bahawa Dia mengutuskan Nabi Muhammad saw adalah untuk memberi peringatan kepada manusia tentang pembalasan dan azab-Nya.
Maka sesiapa yang takut kepada Allah Swt dan takut kepada ancaman-Nya, nescaya dia mengikuti baginda dan dia beroleh kebahagiaan dan kemenangan. Manakala orang-orang yang menentang dan mendustakannya akan mendapat kerugian dan kekecewaan.
Ayat 46
كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوٓا۟ إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَىٰهَا
Pada hari mereka melihat Hari Berbangkit itu, mereka berasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar sahaja) pada waktu petang atau pagi hari.
Pada penutup surah ini, Allah Swt menegaskan bahawa apabila manusia dibangkitkan dari kubur dan masing-masing menuju ke Mahsyar, maka saat itulah mereka merasakan amat pendek dan singkatnya kehidupan di dunia, sehingga seakan-akan menurut mereka hanya tinggal di dunia selama satu pagi atau satu petang sahaja dalam sehari.