Sumpah Allah Swt bagi Menegaskan Kebenaran Hari Berbangkit
Surah 79: An-Nazi’at (1 – 14)
Ayat 1
وَٱلنَّـٰزِعَـٰتِ غَرْقًا
Demi (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras.
Dalam ayat 1-5, Allah Swt bersumpah dengan para malaikat-Nya bahawa Hari Kebangkitan adalah benar dan pasti akan terjadi.
Allah Swt memulakan sumpah-Nya dengan menyebut para malaikat yang bertugas mencabut roh manusia secara paksa. Roh yang dicabut dengan keras dan kasar adalah roh orang-orang yang kufur.
Ayat 2
وَٱلنَّـٰشِطَـٰتِ نَشْطًا
Demi (malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah-lembut.
Kemudian Allah Swt bersumpah dengan malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa dengan lembut, cepat dan mudah iaitu roh orang-orang beriman. Begitulah layanan dan penghormatan-Nya kepada orang-orang mukmin yang bermula dengan kematian. Semoga kita tergolong dalam golongan ini. Allahumma aamiin!
Ayat 3
وَٱلسَّـٰبِحَـٰتِ سَبْحًا
Dan (malaikat-malaikat) yang turun dari langit dengan cepat.
Seterusnya, Allah Swt bersumpah dengan malaikat-malaikat yang turun dari langit dengan sangat cepat untuk membawa perintah-Nya.
Ayat 4
فَٱلسَّـٰبِقَـٰتِ سَبْقًا
Dan (malaikat-malaikat) yang mendahului dengan kencang.
Ada pendapat yang mengatakan setelah malaikat mencabut nyawa manusia, mereka bersegera menemui Allah Swt dengan membawa roh manusia yang telah diambil.
Ayat 5
فَٱلْمُدَبِّرَٰتِ أَمْرًا
Dan (malaikat) yang mengatur urusan (dunia).
Ini pula tentang sumpah Allah Swt dengan menyebut para malaikat yang mentadbirkan urusan-Nya atas arahan-Nya. Para malaikat diberikan pelbagai tugasan yang khusus dan mereka menjalankan tugas dengan penuh patuh dan tepat.
Ayat 6
يَوْمَ تَرْجُفُ ٱلرَّاجِفَةُ
(Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncang alam.
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Al-Hasan, Qatadah, Ad-Dahhak dan lain-lain mengatakan bahawa kedua-duanya adalah tiupan sangkakala, iaitu tiupan yang pertama dan tiupan yang kedua.
Mujahid mengatakan tiupan yang pertama adalah seperti yang disebutkan dalam ayat ini, yang sama maksudnya dengan firman Allah Swt dalam ayat,
“Pada hari bumi dan gunung-gunung bergoncangan……….” (Al-Muzammil 73:14)
Sedangkan tiupan yang kedua pula sama makna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya,
“Diangkat-Nya bumi dan gunung-ganang, lalu dihancurkan kedua-duanya dengan sekali hentaman.” (Al-Haqqah 69:14)
Ayat 7
تَتْبَعُهَا ٱلرَّادِفَةُ
Tiupan pertama itu diiringi oleh tiupan kedua.
Kemudian disusuli pula dengan tiupan sangkakala yang kedua. Tiupan yang kedua ini adalah untuk membangkitkan semua makhluk yang telah mati menjadi hidup kembali, kemudian semuanya akan dikumpulkan di Mahsyar.
Ayat 8
قُلُوبٌ يَوْمَئِذٍ وَاجِفَةٌ
Hati manusia pada waktu itu sangat takut.
Ayat 9
أَبْصَـٰرُهَا خَـٰشِعَةٌ
Pandangannya tunduk.
Ketika manusia menyaksikan huru-hara yang mengerikan lagi sangat menakutkan pada hari itu, pandangan mata mereka tertunduk. Mereka terasa sangat hina dan rendahnya diri kerana kedahsyatan yang mereka saksikan.
Ayat 10
يَقُولُونَ أَءِنَّا لَمَرْدُودُونَ فِى ٱلْحَافِرَةِ
(Orang-orang kafir) berkata, “Apakah sesungguhnya kami benar-benar dikembalikan kepada kehidupan dahulu?
Ayat 11
أَءِذَا كُنَّا عِظَـٰمًا نَّخِرَةً
Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kami telah menjadi tulang belulang yang hancur lumat?”
Ayat 10 dan 11 ini adalah pertanyaan-pertanyaan orang-orang musyrik Quraisy dan orang-orang yang sependapat dengan mereka yang mengingkari adanya hari berbangkit. Mereka tidak percaya bahawa mereka akan dihidupkan kembali sesudah dimasukkan ke dalam liang kubur masing-masing.
Ayat 12
قَالُوا۟ تِلْكَ إِذًا كَرَّةٌ خَاسِرَةٌ
Mereka berkata, “Kalau demikian, itu adalah suatu pengembalian yang merugikan.”
Ada di antara mereka mengatakan sekiranya mereka dihidupkan kembali, tentu ia merupakan satu kerugian buat mereka kerana mereka tidak membuat persiapan terlebih dahulu untuk menghadapi hari tersebut dengan amal-amal yang baik. Namun mereka terus berada dalam kegelapan dan kelalaian.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maka sembahlah selain Dia sesuka hatimu wahai orang-orang musyrik! Katakanlah, ‘Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada Hari Kiamat.’ Ingatlah! Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.”
Az-Zumar 39:15
Ayat 13
فَإِنَّمَا هِىَ زَجْرَةٌ وَٰحِدَةٌ
Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah dengan sekali tiupan sahaja.
Sesungguhnya membangkitkan kembali manusia itu adalah terlalu mudah bagi Allah Swt. Hal ini dilakukan hanyalah dengan sekali tiupan sahaja.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Iaitu pada hari (ketika) Dia memanggilmu, dan kamu mematuhi-Nya sambil memuji-Nya dan kamu menyangka hanya sebentar sahaja berada (di dalam kubur).”
Al-Isra’ 17:52
“Dan perintah Kami hanyalah (dengan) satu perkataan (cepatnya) seperti sekelip mata.”
Al-Qamar, 54:50
Ayat 14
فَإِذَا هُم بِٱلسَّاهِرَةِ
Maka dengan serta merta mereka hidup kembali di permukaan bumi.
Manusia akan berkumpul di Mahsyar. Ketika itu keadaan bumi telah berubah bentuknya tidak lagi seperti dahulu. Ini kerana bumi itu bukanlah bumi yang didiami sekarang tetapi bumi yang lain iaitu padang yang luas dan mendatar.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“(Iaitu) pada hari (ketika) bumi digantikan dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka (manusia) berkumpul (di Mahsyar) mengadap Allah Yang Maha Esa, lagi Maha Perkasa.”
Ibrahim 14:48
“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang gunung-ganang, maka katakanlah, ‘Rabbku akan menghancurkannya pada hari kiamat dengan sehancur-hancurnya. Kemudian Dia akan menjadikan bekas gunung-ganang itu rata sama sekali. Sehingga kamu tidak akan melihat lagi ada tempat yang rendah dan yang tinggi di sana.’”
Taha 20:105-107