Penyesalan Manusia di Akhirat
Surah 78: An-Naba’ (37 – 40)
Ayat 37
رَّبِّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ٱلرَّحْمَـٰنِ ۖ لَا يَمْلِكُونَ مِنْهُ خِطَابًا
Rabb (yang memelihara) langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya, Yang Maha Pemurah. Mereka tidak dapat berbicara dengan-Nya.
Allah Swt memberitahu tentang keagungan dan kemuliaan-Nya. Dia adalah Rabb langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya. Dia juga adalah Rabb Yang Maha Pemurah dan rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Tidak ada seorang pun yang berani memulakan pembicaraan dengan-Nya kecuali dengan izin-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya……….”
Al-Baqarah 2:255
“Apabila tiba hari itu, tiada seorang pun yang berbicara, kecuali dengan izin-Nya………”
Hud 11:105
Ayat 38
يَوْمَ يَقُومُ ٱلرُّوحُ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ صَفًّا ۖ لَّا يَتَكَلَّمُونَ إِلَّا مَنْ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَقَالَ صَوَابًا
Pada hari, ketika Ruh dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang telah diberi izin kepadanya oleh Rabb yang Maha Pemurah, dan dia mengucapkan kata yang benar.
Ruh dalam ayat ini bermaksud Jibril.
Pada hari itu malaikat Jibril dan para malaikat yang lain berdiri berbaris-baris. Mereka tidak memberi syafaat kecuali bagi sesiapa yang Allah Swt Yang Maha Pengasih mengizinkan untuknya dan dia hanya mengatakan yang benar dan lurus.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Yang dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad) agar engkau termasuk orang-orang yang memberi peringatan.”
Asy-Syu’ara’ 26:193-194
Rasulullah saw bersabda:
“Pada hari itu hanya para rasul yang berbicara.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 39
ذَٰلِكَ ٱلْيَوْمُ ٱلْحَقُّ ۖ فَمَن شَآءَ ٱتَّخَذَ إِلَىٰ رَبِّهِۦ مَـَٔابًا
Itulah hari yang pasti terjadi. Maka sesiapa yang menghendaki, nescaya dia menempuh jalan kembali kepada Rabbnya.
Hari Keputusan itu pasti terjadi. Oleh itu, sesiapa yang ingin mencari jalan menuju Rabbnya sebagai tempat kembali, maka dia perlu beriman dan taat kepada-Nya.
Ayat 40
إِنَّآ أَنذَرْنَـٰكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنظُرُ ٱلْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ ٱلْكَافِرُ يَـٰلَيْتَنِى كُنتُ تُرَٰبًۢا
Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (wahai orang kafir) seksaan yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua tangannya, dan orang kafir berkata, “Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah.”
Allah Swt telahpun menjelaskan bahawa Hari Kiamat dan Hari Pembalasan pasti berlaku. Pada hari itu setiap orang akan melihat sendiri segala amalan mereka yang dipaparkan kepada mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….dan mereka mendapati (semua) yang telah mereka lakukan (tertulis)……….”
Al-Kahfi 18:49
“Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakan dan apa yang dilalaikan.”
Al-Qiyamah 75:13
Pada hari itu orang-orang kafir berharap dahulu mereka semasa di dunia adalah tanah. Hal ini mereka katakan ketika azab Allah Swt diperlihatkan dan mereka melihat amal perbuatan mereka yang buruk telah ditulis oleh para malaikat yang mulia.
Ada juga yang berpendapat, hal itu mereka katakan ketika Allah Swt memberikan keputusan kepada haiwan-haiwan yang pernah hidup di dunia dan Dia memberikan keputusan di antara binatang-binatang itu dengan keputusan-Nya yang adil. Dia menunaikan hak sehingga kambing yang tidak bertanduk akan menuntut qisas daripada kambing yang bertanduk. Dan setelah pemberian keputusan, barulah dikatakan kepada binatang-binatang itu, “Jadilah kamu tanah kembali.” Maka pada saat itulah, orang kafir itu berkata, “Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah,” iaitu andai sahaja mereka menjadi haiwan sehingga mereka akan kembali menjadi tanah.